Pilihan Raya Umum ke-14 dijangka diadakan seawal Mac tahun depan, kata dua pemimpin Umno bahagian yang dipetik oleh majalah Bloomberg.

Pemimpin bahagian berkenaan yang enggan namanya disiarkan mengesahkan tarikh itu telah menjadi buah mulut.

"Pembangkang tidak bersama-sama. Kami bersedia seperti yang kita boleh untuk pilihan raya," kata seorang ketua bahagian Umno dari negeri selatan tanah air.

Mereka berkata, kepimpinan Umno beberapa minggu lalu menggesa akar umbi untuk melibatkan diri dengan pengundi berpotensi, terutamanya pengundi muda.

Bagaimanapun kedua-dua pemimpin Umno itu berkata keputusan muktamad masih belum dibuat.

Laporan itu juga memetik Naib Presiden Gerakan Dominic Lau sebagai berkata bahawa parti itu telah diarahkan untuk "bersiap sedia".

"Kami telah diarahkan oleh BN untuk bersedia, untuk mendapatkan jentera parti dalam usaha dan persiapan menghadapi pilihan raya umum," katanya.

Lau bagaimanapun berkata tarikh akhir mengenai bila pilihan raya umum masih di tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib kini berada dalam kedudukan kuat sejak beliau mula-mula berhadapan dengan kontroversi selepas berbilion deposit dalam akaun bank peribadinya terungkap pada Julai tahun lepas.

Sejak itu, beliau menyingkirkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dari kerajaan kerana mengkritiknya.

Walaupun Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat mendakwa lebih AS$ 3.5 bilion disalahgunakan daripada 1MDB dan sekurang-kurangnya AS $ 731 juta dimasukkan ke akaun Malaysian Official 1, kedudukan Najib selaku perdana menteri agak kuat.

Akar umbi parti kekal setia kepada Najib manakala pengkritik parti itu kini terpaksa beralih kepada pembangkang.

Najib menafikan salah laku dan berkata beliau tidak pernah mengambil wang rakyat untuk kepentingan peribadi.

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin  menubuhkan parti serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) selepas mendapati ia mustahil untuk mengusir Najib dari dalam Umno.

Pembangkang dilihat berpecah dan tidak dapat memberi cabaran serius kepada BN di bawah Najib. Bagaimanapun, usaha-usaha sedang dijalankan untuk menyatukan pembangkang, tetapi masa semakin suntuk.