Akta Pekerjaan telah digubal pada tahun 1955 lima puluh tahun yang lalu. Maka, seksyen yang tidak sesuai dan ketinggalan zaman harus dikaji dan dikemaskini.

Oleh itu saya berharap perkara tersebut diambil perhatian supaya tercapai matlamat untuk menjadi sebuah negara cemerlang, gemilang dan terbilang. Perkara yang dimaksudkan adalah seperti berikut;

1. Masa pembayaran gaji - Oleh kerana kita sudah memasuki zaman komputer dan IT, masa ini patutlah dipendekkan kepada tidak lebih daripada tiga hari, bukan tujuh hari seperti yang diperuntukkan sekarang.

2. Cuti umum - Mengapa berlaku 'double standard' iaitu cuti bergaji yang diwartakan dan yang diperuntukkan ketara berbeza sedangkan kita semua maklum peranan industri memberi sumbangan besar kepada pendapatan negara.

3. Masa kerja - Pekerja pejabat diperuntukkan 5 hari bekerja dalam seminggu sedangkan pekerja kilang enam hari seminggu. Lebih aneh lagi didapati ada perbezaan bagi pekerja kilang di bahagian pentadbiran atau pejabat di mana pekerja pejabat mendapat 5 hari manakala enam hari bagi pekerja di kilang.

Saya membangkitkan tiga perkara di atas untuk mendapat perhatian segera Kementerian Sumber Manusia dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).