Rundingan damai lancar tetapi belum ada persetujuan dicapai
Terjemahan Rundingan antara puak pemisah Moro dan kerajaan Filipina untuk menamatkan pemberontakan bersenjata di selatan Filipina belum lagi mencapai sebarang kata sepakat tetapi "berjalan dalam suasana mesra", demikian menurut pihak penganjurnya hari ini.
Terjemahan Rundingan antara puak pemisah Moro dan kerajaan Filipina untuk menamatkan pemberontakan bersenjata di selatan Filipina belum lagi mencapai sebarang kata sepakat tetapi "berjalan dalam suasana mesra", demikian menurut pihak penganjurnya hari ini.
"Mereka sedang cuba mencari perkara-perkara yang boleh dipersetujui bersama," kata seorang pegawai kerajaan Malaysia kepada AFP ketika ditemui pada hari kedua rundingan tersebut di sebuah pusat peranginan di selatan Kuala Lumpur.
"Kedua-dua pihak telah mengemukakan hujah masing-masing dan mereka mahu memperincikannya lagi. Mereka belum mencapai sebarang kata sepakat," katanya.
Rundingan tiga hari itu dijangka bukan sesuatu yang mudah di antara pihak Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dan kerajaan Filipina berhubung isu di wilayah terbabit.
Puak pemisah MILF telah melancarkan pemberontakan bersenjata sejak tahun 1978, menuntut supaya Manila menyerahkan kuasa kepada mereka untuk mentadbir sendiri tanah tumpah mereka di Mindanao.
Ini membabitkan keseluruhan kepulauan Mindanao yang pernah diperintah oleh kesultanan Islam sehingga ianya dikuasai oleh pihak Barat yang menjajah negara tersebut.
Kepulauan yang kayu dengan hasil galian itu menjadi tempat tinggal masyarakat Islam di negara itu yang mendakwa mereka telah diusir oleh pihak penjajah Sepanyol dan kemudiannya oleh Amerika Syarikat yang memperkenalkan konsep Barat dalam pemberian hakmilik harta.
Persidangan rasmi
Menurut pegawai berkenaan, rundingan di Malaysia ini menumpukan kepada empat perkara aspek wilaya, konsep kekuasaan, sumber semulajadi dan pemerintahan.
"Ia akan mengambil masa bagi mereka untuk mencapai persetujuan," katanya kepada AFP, sambil menambah "suasana rundingan adalah baik."
"Pagi ini mereka bertemu dan berbincang selama kira-kira dua jam. Mereka kini sedang berbincang sesama sendiri dan akan bertemu lagi lewat petang ini," katanya.
Menurutnya, setiap delegasi diwakili oleh 20 orang, termasuk para pegawai, peguam, ahli sejarah dan ahli akademik. Pihak kerajaan Filipina diketuai oleh ketua perunding Presiden Gloria Arroyo, Silvestre Afable manakala delegasi MILF diketuai oleh ahli jawatankuasa pusatnya, Mohagher Iqbal.
Rundingan peringkat awal di antara kerajaan Filipina dan MILF bermula pada 7 Januari 1997 dan diikuti dengan persetujuan untuk mengadakan genjatan senjata pada tahun 2003, yang diselia oleh pasukan yang dianggotai oleh Malaysia dan beberapa negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Pegawai Malaysia berkata, mesyuarat teknikal mungkin diadakan lagi selepas ini sebelum melangkah ke fasa berikutnya di mana persidangan rasmi akan diadakan dan seterusnya menandatangani perjanjian damai.
- AFP

