Terjemahan PAS dan Sisters of Islam (SIS) seharusnya duduk berbincang mengenai perbezaan pandangan yang wujud antara mereka, daripada bertindak membuat kritikan secara terbuka, kata pemimpin Forum Profesional Islam (MPF) dan Jemaah Islah Malaysia (JIM).

Menurut mereka, setiap orang mempunyai hak kebebasan bersuara, berkumpul dan mengamalkan kepercayaan masing-masing dan menggunakan hak-hak mereka itu secara yang terbaik.

Tetapi, kata mereka, soal menyentuh sensitiviti mana-mana pihak boleh dielakkan jika badan-badan Islam bersedia berbincang sesama mereka sebelum mengambil sebarang tindakan sebelah pihak.

"Saya menyokong pandangan bahawa badan-badan Islam harus berbincang untuk menyelesaikan masalah antara mereka. Pernahkan perbincangan diadakan antara SIS dan PAS? Setahu saya, tidak ada," kata Pengarah MFP, Zainal Abidin Jamal

"Pada pandangan umum, apabila timbul perkara membabitkan Islam, kita sepatutnya berbincang sesama kita, daripada membuat kenyataan terbuka yang boleh menimbulkan banyak lagi masalah, terutama apabila bukan Islam turut serta," katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan Selangor mengadakan perhimpunan secara aman di Masjid Kampung Baru bagi menyuarakan bantahan mereka terhadap tuntutan 50 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta 200 individu supaya kerajaan memansuhkan penggunaan undang-undang moral terhadap individu.

Perhimpunan tersebut mengeluarkan satu deklarasi bertajuk "Selamatkan Maruah Islam" yang antara lain menuntut Majlis Raja-Raja dan kerajaan campurtangan dan menolak tuntutan mereka secara terbuka.

Mereka juga meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya mengambil tindakan keras dengan membatalkan pendaftaran pertubuhan SIS dan memecat ahli-ahli Kaukus Parlimen mengenai hak asasi manusia yang menyokongnya.

SIS dan Jawatankuasa Kaukus Parlimen juga diminta menarik balik segala apa juga permintaan mereka sebelum ini yang jelas bercanggah dengan dasar Islam dan Perlembagaan Negara.

Deklarasi itu turut menuntut supaya Sisters in Islam dan Kaukus Parlimen tersebut memohon maaf kepada umat Islam atas keterlanjuran sikap mereka dalam isu tersebut.

Zainal mempertahankan tindakan Pemuda PAS mengadakan perhimpunan tersebut dengan alasannya bahawa ianya adalah sebahagian daripada gerak kerja parti tersebut.

"Yang pastinya, PAS adalah sebuah parti politik yang dilihat memperjuangkan Islam. Sudah tentulah mereka membantah apabila ada pihak berkata 'hapuskan kesalahan Syariah'. Jika tidak, mereka tidak akan dilihat mempertahankan dasar perjuangan mereka," katanya.

Cara lebih berkesan

Zainal berkata, memandangkan ruang yang terhad bagi PAS untuk menyuarakan pandangan dan berdebat mengenai isu tersebut, maka parti pembangkang itu bertindak menganjurkan perhimpunan tersebut sebagai cara terbaik untuk menyatakan bantahan mereka.

Bagaimanapun, katanya, SIS dan PAS seharusnya boleh berbincang mengenai perbezaan pandangan mereka dalam isu tersebut, sebelum menyuarakan kritikan masing-masing secara terbuka.

"Saya lebih suka PAS membabitkan diri dalam perbincangan dan respons intelektual, tetapi masalahnya ialah tidak semua orang membaca (akhbarnya atau akhbar taliannya) dan apa yang dikatakan mereka tidak pula disiarkan (dalam media lain). Jadi, mungkin mereka berpendapat cara ini (perhimpunan) merupakan yang terbaik bagi mereka," katanya.

SIS pula menjadi sasaran kecaman sejak ia terbabit dalam desakan supaya disemak semula undang-undang Syariah agar dihapuskan peruntukan-peruntukan yang dianggap melanggar kebebasan peribadi, kebebasan bersuara, dan yang bertindih dengan undang-undang jenayah persekutuan.

Membuka peluang

Sementara itu, Presiden JIM, Zaid Kamaruddin, yang bersetuju dengan pandangan Zainal mengenai pentingnya berdialog, turut menyuarakan harapannya agar debat mengenai soal moraliti awam akan membuka peluang untuk badan-badan Islam untuk berbincang sesama mereka mengenai perkara kepentingan bersama.

"Ini adalah satu peluang yang baik (untuk berbuat demikian), kerana desakan supaya dihapus dan dipinda undang-undang Syariah telah menyentuh perasaan masyarakat Islam. Kebanyakan badan bukan kerajaan (NGO) berbincang sesama mereka di segi ideologi, filosofi dan intelektual," katanya ketika dihubungi.

"Persoalannya ialah bagaimana kita boleh menangani perbezaan pandangan ini, tetapi ramai orang Islam telah bersatu tenaga," katanya, merujuk kepada penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Gabungan NGO Islam.

Sambil mempersoalkan apakah faedahnya bagi PAS mengecam SIS, Zaid menekankan perlunya badan-badan Islam seperti SIS membantu menangani keruntuhan nilai dan akhlak dalam masyarakat sekarang.

"Kita perlu melihatkan kepada isu yang lebih besar dan berkerjasama untuk melahirkan satu sistem moraliti yang yang baik dalam masyarakat kita dan membawa umat Islam kembali mengamalkan akhlak yang baik," katanya.