Pelajar: Demo kami tak dirampas pembangkang
Kumpulan pelajar menafikan perhimpunan mendesak tindakan terhadap Malaysian Official 1 (MO1) di ibu negara Sabtu lalu dirampas oleh pembangkang.
Jurucakap penganjur Anis Syafiqah Md Yusof berkata pelajar “100 peratus” mengaturnya dan ahli politik juga dibataskan daripada membuat ucapan.
Katanya, pihaknya telah memaklumkan awal bahawa ahli politik hanya dibenarkan berucap di Sogo dan Masjlid Jamek sahaja manakala Dataran Merdeka dikhususkan kepada pelajar.
“Kami menafikan sama sekali perhimpunan itu dirampas.
“Sebabnya saya sudah maklumkan awal-awal kepada semua pihak bahawasanya kita hanya memberikan ruang kepada pihak-pihak lain seperti parti politik dan NGO di dua tempat perkumpulan awal sahaja,” katanya.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau dimaklumkan perhimpunan #TangkapMO1 dirampas parti pembangkang.
Sementara itu , Anis turut menafikan bahawa perhimpunan tersebut bertujuan menyeru orang ramai untuk hadir ke himpunan BERSIH 5 selepas ini.
“Tidak sama sekali.
“Bahkan kita pada pada 27 Ogos, kita fokus kepada objektif kita iaitu untuk menangkap dan menghadapkan MO1 ke muka pengadilan.
“Mungkin ada sampingan-sampingan seperti BERSIH 5 dan sebagainya, itu tambahan kepada peserta-peserta lain dalam perhimpunan,” katanya.

