Terjemahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz menjadi sasaran kritikan DAP berikutan kenyataannya bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap malaysiakini kerana menyiarkan gurauan April Fool.
Parti pembangkang itu juga menuduhkan menteri berkenaan mengamalkan sikap diskriminasi.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Nazri supaya "bersikap konsisten dengan turut mengambil tindakan terhadap akhbar-akhbar yang dikuasai Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berbohong mengenai parti-parti pembangkang, terutama sewaktu pilihanraya umum".

"Malaysiakini secara terbuka melaporkan dalam satu lagi laporan kembar bahawa berita tersebut, yang mendakwa tiga menteri dan seorang menteri besa akan didakwa atas tuduhan rasuah, adalah satu gurauan April Fool.

"(Melakukan) ini lebih baik daripada akhbar-akhbar yang dikuasai BN, yang sehingga ini, masih enggan mengakui siri pembohongannya terhadap parti-parti pembangkang," katanya.

Menurutnya, jika Nazri secara tiba-tiba sahaja sedar mengenai soal kebenaran, maka dia tidak harus mengamalkan dwi-standard, tetapi sepatutnya turut mengambil tindakan terhadap kesemua akhbar-akhbar yang melakukan pembohongan.

Semalam, menteri berkenaan memberitahu Dewan Rakyat bahawa lamanweb itu akan menghadapi tindakan berhubung laporan tersebut, tetapi tidak menyatakan bentuk yang akan diambilkan.

Nazri juga membayangkan bahawa perkara tersebut kini berada di tangan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik.

Isu bekalan terputus

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, Keng Yaik tidak mempunyai kredibiliti untuk 'menegak kebenaran' ataupun kuasa moral untuk menghukum malaysiakini kerana mendakwa menteri itu juga berbohong mengenai janjinya yang TNB (Tenaga Nasional Berhad) patut membayar pampasan berikutan kejadian bekalan elektrik terputus pada 13 Januari lalu.

Dalam kejadian berkenaan, bekalan elektrik terputus selama lima jam yang membabit banyak kawasan di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia, yang mengakibatkan kerugian besar.

"Pada hari bekalan elektrik terputus, menteri berkenaan menyatakan (sepertimana yang dilaporkan dalam akhbar berbahasa Cina) bahawa pelanggan boleh menuntut pampasan daripada TNB.

"Beliau mengulanginya selepas mesyuarat kabinet pada 27 Januari bahawa TNB perlu memikul tanggungjawab tidak kira sama ada bekalan terputus disebabkan oleh kesilapan teknikal ataupun kesilapan manusia.

"Selepas itu, TNB menolak (kenyataan) beliau dan menolak sebarang liabiliti, kerana bekalan terputus kurang daripada tempoh empat jam," kata Guan Eng.

Sehubungan itu katanya, Keng Yaik tidak sepatutnya diberi tugas untuk mengambil tindakan terhadap malaysiakini.

"Sehingga hari ini, menteri berkenaan tidak pernah menjelaskan mengapa beliau berbohong atau sama ada beliau hanya "bergurau' walaupun sebelum tibanya April Fool.

Guan Eng sebaliknya menggesa kerajaan supaya mengambil perhatian daripada gurauan lamanweb tersebut bagi memperbaiki ketidakberkesanan usaha membanteras rasuah di negara ini.

Dalam reaksi selepas berita itu disiarkan, Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail memberitahu pihak media yang beliau tidak nampak sebarang gurauan berhubung laporan tersebut, dan berkata akan mengambil tindakan terhadap malaysiakini.

Beliau juga dilaporkan akan mengarahkan pihak polis untuk menyiasat perkara tersebut.

Bagaimanapun kemudiannya, Abdul Gani memberitahu malaysiakini bahawa beliau telah disalahpetik dan tidak pernah berkata akan mengarahkan polis menyiasat perkara tersebut.

Manakala Penasihat Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Prof Hamdan Adnan pula dilaporkan oleh akhbar Utusan Malaysia menggesa supaya malaysiakini diharamkan kerana menyiarkan gurauan April Fool itu.

Bagaimanpun, beliau juga kemudiannya mendakwa kenyataannya itu telah "disalaherti".

Malaysiakini pula tetap mempertahankan tindakannya itu dengan menyatakan ia bertujuan untuk menggalakkan perdebatan mengenai isu rasuah.