Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota, Kuantan membuat laporan polis terhadap Ketua Polis Kuantan, ACP Jamshah Mustapha kerana didakwa menyalahguna kuasa ketika bertindak ke atas majlis membaca puisi di Pusat Tarbiyah PAS Balok di Kuantan pada 4 April lalu.

Pihak polis melalui Unit Narkotik Kuantan juga menahan lapan orang dan membawa mereka menjalani ujian air kencing di Ibu Pejabat Polis Kuantan. Mereka dibebaskan kira-kira jam 2.30 pagi hari yang sama.

Ketua Pemuda PKR Indera Mahkota. Mohd Zukri Aksah membuat laporan polis tersebut di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman , Kuala Lumpur pada jam 3.20 petang semalam. Laporan itu diterima oleh Ketua Unit Penerbitan Cawangan Perhubungan Awam, ASP Venugopal Navaratnam.

D i dalam laporan polis tersebut, ACP Jamshah didakwa berniat jahat dengan mengarahkan Unit Anti Rusuhan Pasukan Gerak Am (PGA) bertindak untuk menggagalkan majlis pembacaan puisi tersebut.

Mohd Zukri mendakwa, polis juga menuduh beliau dan tujuh yang lain menggunakan dadah, yang menurutnya jelas berniat jahat dan merupakan satu tindakan balas dendam, setelah mereka gagal menghalang majlis ini daripada diteruskan.

"Tindakan polis yang menghalang dan menakut-nakutkan orang ramai daripada datang ke majlis tersebut menyebabkan kerugian besar kepada Pemuda Keadilan sebagai penganjur.

"Kami berhak menjalankan program tersebut tanpa permit kerana ia diadakan di kawasan premis persendirian dan ia diadakan secara tertutup," katanya dalam laporan polis tersebut, sambil meminta Lembaga Tatatertib Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan disiplin ke atas ACP Jamshah.

Ditahan

Majlis pembacaan puisi itu dijayakan oleh Ketua Pemuda PKR, Ezam Mohd Noor; anak Datuk Seri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah; Ketua PKR Bahagian Indera Mahkota, Dzulkifli Ismail; Exco Pemuda Badrul Hisham Shaharim dan Mohd Zukri sendiri.

Menurut laporan polis itu lagi, majlis tersebut tamat pada jam 11.15 malam dalam keadaan tenang dan orang bersurai dari situ.

Ketika dihubungi, Mohd Zukri yang juga Exco Angkatan Muda berkata, anggota Unit Anti Rusuhan PGA mula mengepung kawasan majlis tersebut pada jam 7 petang dengan menggunakan tiga trak, meriam air dan siap dengan belantan.

Katanya, anggota polis berkenaan menghalang orang ramai yang mahu menghadiri majlis tersebut, selain mengadakan sekatan jalan raya di kedua-dua hala dari bandar Kuantan dan Cherating di sempadan Pahang dan Terengganu.

"Tindakan polis itu menyebabkan orang ramai menjadi takut dan hanya dianggarkan 50 orang sahaja yang menyertai majlis pembacaan puisi tersebut," katanya.

Mohd Zukri berkata, polis meletakkan kenderaan termasuk lori meriam air di tapak majlis tersebut bertujuan untuk menghalang orang ramai daripada menghadirinya.

Menurutnya, pada jam 9.45 malam, seorang pegawai polis masuk ke dalam dewan dan menggunakan pembesar suara mengarahkan pihak penganjur memperlahankan bunyi pembesar suara dan penganjur mematuhi arahan tersebut.

Katanya, pada jam 11.45 malam polis membuat serbuan dan menahan lapan orang ketika mereka sedang membersihkan kawasan tersebut kira-kira 30 minit selepas majlis tersebut berakhir.