Rombakan Red Giants dibuat berdasarkan merit
Rombakan pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) yang dijangka dilakukan dalam masa terdekat ini dibuat berdasarkan merit, bukan kerana prestasi merudum dipamerkan skuad negeri dalam aksi liga Malaysia.
Presiden FAS Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ia hanyalah langkah awal diambil pihaknya dan menyatakan akan ada beberapa pengumuman dibuat tidak lama lagi.
“Tindakan perlu diambil berdasarkan merit. Sekiranya tiada prestasi yang baik, saya selaku presiden mengambil tindakan sewajarnya," kata beliau kepada media di Sepang hari ini.
Bagaimanapun Azmin berkata beliau tidak menganggap prestasi skuad bola sepak Selangor kini "merudum" namun langkah sewajarnya tetap perlu diambil demi mempertahankan prestasi mereka.
Azmin berkata demikian bagi mengulas coretannya di Twitter yang menyatakan pengurusan dan pasukan Selangor akan mengalami perubahan dalam masa terdekat ekoran prestasi semasa dipamerkan skuad bekenaan musim ini.
Sabtu lalu Selangor tewas 0-1 kepada Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar.
Kekalahan itu memang tidak mengubah kedudukan Selangor di tempat ketiga dalam Liga Super namun mereka hanya dipisahkan satu mata dengan Kedah yang berada di tempat keempat.
Sehari kemudian FAS mengumumkan memecat ketua jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan (gambar).
Kata Azmin selepas meneliti prestasi jurulatih, pemain dan pengurusan FAS serta mendengar maklum balas semua, tindakan tegas diambil segera.
“Saya telah mengarahkan @Amir_Shari (pengurus pasukan, Amirudin Shari) dan Hisham (Ghouth – penolong pengurus) untuk mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan membuat rombakan segera,” kata Azmin dalam Twitter beliau.
Rasa tidak puas hati Azmin yang juga timbalan presiden PKR itu seiring dengan dakwaan dinyatakan sebahagian penyokong The Red Giants yang kecewa dengan kemerosotan pasukan kebelakangan ini.
Sementara itu, diminta mengulas sejauh mana FAS memerlukan peruntukan tambahan bagi meningkatkan prestasi pemain mereka ini jawab Azmin: “Bukan masalah peruntukan, jangan jadi macam sebelah sana (kerajaan Pusat). Setiap kali ada masalah, suntik duit.
“Ini soal budaya, sikap serta hubungan dan itu semua kita ambil kira. Keputusan ini dibuat secara merit,” tegas Azmin.
Ketika ini, Hisham bertindak sebagai pemangku pengurus selepas Amirudin menguruskan pasukan buat kali terakhir ketika Selangor berdepan T-Team (kekalahan 0 – 1) di Kuala Terengganu dan berangkat menunaikan ibadah haji.
Prestasi pasukan ketika ini juga dikatakan tidak meyakinkan peminat bagi mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia dimenangi musim lalu.
Difahamkan memang terdapat desakan supaya individu tertentu dalam FAS melepaskan jawatan kerana prestasi tidak menentu.

