Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan mengadakan pertemuan dengan exco Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pada Khamis ini bagi membincangkan formula untuk menyelesaikan isu prestasi bola sepak negara.

Beliau berkata pertemuan itu nanti tidak akan melibatkan pemilik pasukan bola sepak JDT Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) kerana beliau tidak mempunyai kedudukan dalam exco.

"Saya akan maklumkan kepada mereka apakah cadangan yang telah dipersetujui bersama antara Presiden FAM (Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah) dan saya.

Saya hanya sebagai pemudah cara, kalau dipersetujui oleh exco, saya harap dapat diumumkan nanti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan peserta program latihan amali Pengajian Islam di Kuala Lumpur hari ini.

Khairy yang akan berlepas ke Rio de Janeiro, Brazil pada 11 Ogos ini berkata, beliau berharap kata sepakat dapat dicapai dan isu ini dapat ditangani sebelum beliau berlepas menyertai kontinjen negara.

Selasa lalu, Khairy telah mengadakan pertemuan dengan Tengku Abdullah yang berlangsung lebih sejam bagi mencari kaedah penyelesaian permasalahan yang melanda badan induk bola sepak negara itu.

Pertemuan itu merupakan susulan isu persaraan empat pemain JJDT daripada skuad kebangsaan dan dakwaan Tunku Ismail yang mendakwa mempunyai bukti salah laku di dalam badan induk berkenaan.

-Bernama