BA digugat idea reformasi Umno
Percubaan Anwar untuk kembali bertapak akan gagal dan langkah itu akan menjadi tidak relevan. Dengan ini Abdullah akan berjaya 'sambil menyelam, minum air.'
Sekiranya kita melihat senario ini, nyata sekali idea 'mereformasikan Umno' sebenarnya bukanlah bertujuan mengubah parti itu, apatah lagi memenuhi keperluan perubahan yang lebih mendasar dan utama seperti dihasratkan kebanyakan reformis. Sebaliknya 'mereformasikan Umno' bertujuan meredakan gelombang reformasi rakyat tanpa melakukan sebarang perubahan asas.
Tujuan idea 'mereformasikan Umno' lebih untuk menjamin penerusan kepimpinan Umno apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan parti itu dan negara. Namun, ini tidak bererti idea 'mereformasikan Umno' tidak mempunyai daya tarikan.
Sejauh mana idea ini diterima bergantung kepada beberapa perkara. Pertama, sejauh manakah pengganti Mahathir bersedia membawa perubahan dalam isu yang selama ini wujud penyelewengan yang jelas - bukan sekadar menghalang kes-kes penyelewengan seperti yang berlaku sekarang dan sebelum ini.
Antara isu pokok perubahan ialah perubahan Perlembagaan Persekutuan - memastikan pemisahan kuasa, semakan serta perimbangan cabang utama kerajaan dan pengkuhan institusi-institusi demokratik.
Perubahan ini mesti memberikan perlindungan kepada rakyat serta mewujudkan mekanisme pengimbang kuasa di antara cabang-cabang perundangan, eksekutif dan kehakiman. Pindaan ini mestilah diikuti dengan pemansuhan undang-undang yang menyekat kebebasan rakyat dan melindungi hak asasi manusia. Seperti yang dinyatakan awal tadi, kemungkinan hal ini berlaku adalah tipis.
Isu BA belum dibereskan
Ini tidak bererti perubahan yang lebih terhad yang bertujuan memenuhi tuntutan kelompok tertentu tidak akan dilakukan. Tindakan ini mungkin dalam bentuk beberapa perubahan yang terbatas untuk memenuhi kelompok pendesak, seperti jawatankuasa rayuan pilihanraya Suqiu.
Memenuhi tuntutan beberapa kumpulan pendesak, misalnya yang berasas kumpulan kaum, akan merungkaikan ikatan longgar yang menyatukan pelbagai kelompok yang kini menentang regim Barisan Nasional. Dengan ini tentangan terhadap regim BN dapat dikurangkan.
Idea 'mereformasikan Umno' yang disusuli dengan perubahan terbatas sebegini mungkin memadai untuk mendapatkan kembali sokongan golongan atas pagar, pemimpin-pemimpin korporat dan mungkin juga sebahagian daripada masyarakat Cina yang kini tidak berpuas hati dengan kerajaan.
Kedua, sejauh mana idea 'mereformasikan Umno' boleh meyakinkan masyarakat dan sebahagian reformis turut dipengaruhi keupayaan Barisan Alternatif sendiri. Masih terlalu banyak isu yang perlu dibereskan antara parti-parti komponen BA tetapi sejak pilihan raya umum 1999, semua ini seolah-olah telah dilupakan. Misalnya, persoalan mendaftarkan BA sebagai sebuah parti, pembahagian kerusi dan strategi untuk pilihanraya umum seterusnya masih belum ditangani.
Formula yang digunakan pada tahun 1999 lebih bersifat kompromi dan tidak semestinya rumusan terbaik atau sudah berkesan. Kelemahan ini terus menghantui BA, dan boleh dikatakan setiap kali berlaku pilihan raya kecil parti-parti pembangkang ini bertelagah. Pendirian-pendirian terhadap beberapa isu semasa juga nyata tidak diselaraskan. Pemantapan jentera parti-parti masih tidak dilakukan dengan baik. BA nampaknya sebagai gabungan yang kerap bertindak last minute.
Di segi kepimpinan intelek, barisan pembangkang belum berjaya menghasilkan wawasan reformasi yang jelas. Barangkali wawasan ini tidak penting untuk meyakinkan pengundi-pengundi di kampung tetapi ia diperlukan untuk meyakinkan pemimpin-pemimpin masyarakat serta golongan kelas pertengahan.
BA gagal jaring gol
Keupayaan dalam bidang mengungkapkan wawasan ini akan mempengaruhi Keadilan khususnya yang banyak bergantung kepada pengundi di kawasan bandar. Namun, Keadilan tidak menunjukkan keupayaan untuk memberi kepimpinan intelek dalam hal ini. Itulah sebab utama penganalisis tidak menganggap Keadilan sebagai faktor terpenting jika dibandingkan dengan PAS dan Umno.
Seperti dinyatakan awal tulisan ini, PAS mungkin mengalami perubahan atau 'enlightened PAS'. Bagaimanapun, setakat ini sukar untuk menilai sama ada perubahan ke arah ini sedang berlaku. Penyertaan lebih ramai golongan profesional dalam parti itu satu petanda perubahan ini akan berlaku. Persoalannya, apakah ia akan berlaku secara perlahan-lahan atau ia berlaku dengan lebih cepat dan meyakinkan?
Prestasi BA ibarat seorang pemain yang berjaya membawa bola ke tengah padang tetapi tidak mampu dan berstamina untuk menjaring gol. Sekiranya kelemahan ini berterusan, golongan atas pagar dan sebahagian reformis, khususnya mereka yang tidak terlibat dalam politik kepartian, akan berasa hilang harapan kepada pakatan pembangkang. Pada ketika itu, mereka mungkin akan menganggap idea 'mereformasikan Umno' sebagai satu 'kompromi' yang boleh diterima. Kelemahan dalam BA akan menampakkan idea 'mereformasikan Umno' lebih menarik dan meyakinkan.
Nyatalah, sejauh mana idea 'mereformasikan Umno' boleh diterima bergantung kepada langkah-langkah yang diambil pengganti Mahathir dalam parti itu dan juga tindak-tanduk BA. Sekiranya pengganti Mahathir bijak, pemimpin itu akan dapat memulihkan kedudukan Umno dengan idea 'mereformasikan Umno'.
Sekiranya Barisan Alternatif leka, idea 'mereformasikan Umno' ini akan menyebabkannya kehilangan sokongan dan menghadapi kemerosotan. Dalam pertembungan dua pihak ini, mereka yang pintar dan pantas akan menang.
ABU MUNZIR adalah seorang ahli akademik di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan

