ULASAN l Seperti yang telah kita dengar Menteri Udang telah mula membuat bising: mengkritik khutbah bermakna mengkritik MAIS dan mengkritik MAIS ertinya menyinggung Sultan.

Ini bukan kali pertama tokoh mulut murai itu menyeret institusi raja ke kancah politik.

Sewaktu krisis menteri besar pada 2014 dahulu dia dan kumpulannya menaikkan kain pemidang di seluruh Selangor; menyokong Sultan.

Aneh, ketua kerajaan yang hendak ditukar ketua negeri pula yang seret.

Fenomena sedemikian menimbulkan tanggapan bahawa institusi raja bagaikan bola dan mereka yang kuat dan ada kuasa menentukan ke mana bola itu hendak ditendang.

Sejak dilantik menjadi menteri semula, menteri yang pernah dikait dengan skandal projek udang itu jelas hendak menunjukkan taringnya kepada ahli parlimen PKR Penampang yang menyinggung isu khutbah Aidilfitri yang menyentuh RUU yang disebut di Parlimen oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa bulan lalu.

RUU berkenaan hendak meminda bidang kuasa mahkamah syariah.

Logik yang dipakai oleh menteri dari Tanjong Karang itu betul. Tetapi sama ada keputusan tentang khutbah itu benar-benar dibuat oleh Sultan secara peribadi tidaklah dapat dipastikan.

Sebab itu alasan YB dari Sabah itu yang berkata bahawa dia tidak menyebut langsung sultan dalam posting facebooknya boleh diterima.

Dan sebenarnya kalau menteri berkenaan konsisten dan benar-benar setia dengan sultan dia tidak boleh mengkritik atau mengengkari apa juga dasar dan arahan dari menteri besar Selangor, apalagi dalam keadaan pemegang jawatan itu memang dilantik oleh sultan tanpa mengendahkan
perlembagaan negeri.

Mengikut amalan dan tafsiran yang betul menteri besar sepatutnya diberikan kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail apabila pemegang sebelumnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, meletakkan jawatan setelah kehilangan sokongan majoriti dalam DUN Selangor.

Berbalik kepada khutbah Aidilfitri pada pagi 6 Julai itu saya sendiri pun berasa kejanggalannya. Tetapi tidaklah sampai ke tahap bangun dan meninggalkan masjid seperti yang dilakukan olen Wan Saiful Wan Jan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan pemikir Ideas itu.

Ini mengejutkan. ‘Ganas’ juga kawan saya ini, saya fikir.

Saya kata begitu kerana meskipun saya dikata macam-macam oleh sultan Selangor saya belum pernah tidak menyertai doa untuk baginda dalam setiap khutbah, termasuk khutbah berkenaan.

Saya dimaklumkan Sultan Selangor pernah menitahkan supaya saya dipecat sebagai felo kanan di Ideas.

Baginda cukup murka dengan kenyataan saya tentang tindakan JAIS ke atas sebuah gereja di Petaling Jaya pada 2011. Begitu juga dengan isu audit Lembaga Zakat Selangor.

Untuk makluman Ideas ini dipengerusikan oleh putera Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tunku Abidin Muhriz.

Apa yang hendak saya tekankan di sini ialah bahawa saya tidak ada agenda peribadi. Saya tidak bermusuh dengan Sultan atau istana.

Apa yang saya lakukan hanyalah menyatakan apa yang saya fikir benar: saya hanya menyebut tafsiran dan makna perlembagaan yang betul. Bukan menghentam atau cuba menunjuk pandai atau memalukan sultan.

Kalau saya membawa agenda peribadi buat apa saya teruskan berdoa untuk sultan dan raja muda? Lebih baik saya ikut apa yang Wan Saiful buat tadi.

Untuk makluman semua sebenarnya ada pihak-pihak yang cuba hendak mendamaikan saya dengan pihak istana.

Malangnya sehingga kini istana masih membisu. Saya fikir pihak-pihak berkenaan faham dengan apa yang saya lakukan.

Dan saya fikir mereka akur bahawa sehingga ini saya telah menulis banyak makalah jurnal dan buku yang menghuraikan kedudukan dan peranan Raja-Raja.

Mereka tak fikir orang macam saya nak merosakkan institusi raja. Tetapi nampaknya kelompok yang didalangi oleh orang-orang seperti Menteri Udang lebih ramai dan kelihatannya mereka inilah yang membuat keputusan.

Berbalik kepada isu khutbah tadi sepatutnya pihak berkenaan berfikir panjang dan tidak menggunakan medan itu berpolitik. Ini kerana setiap isu ada dimensinya sendiri. Yang setuju dan yang menentang.

Pendeknya isu-isu yang masih belum disepakati penyelesaian atau kesudahannya tidak harus ditangani di situ. Ada banyak isu lain yang lebih penting dan tidak menimbulkan perpecahan seperti masalah rasuah, kebejatan moral, salah guna kuasa dan seumpamanya.


Dr Abdul Aziz Bari adalah pakar perlembagaan yang kini menjadi ahli DAP setelah meninggalkan PKR.