Ranieri yakin Mahrez bertahan di King Power
Pengurus Leicester city Claudio Ranieri menyatakan keyakinan terhadap nasib pemainnya Riyad Mahrez untuk terus menjadi taruhan di Stadium King Power.
Mahrez salah seorang pemain kunci di sebalik kejayaan Leicester menjuarai gelaran Liga perdana Inggeris (EPL) Musim lalu.
Jentera serangan berusia 25 tahun itu meledak 18 gol daripada 39 penampilannya di pentas EPL.
Prestasi itu meletakkan Mahrez sebagai sasaran kelab-kelab lebih besar seperti Barcelona dan Arsenal.
Namun, Ranieri dalam kenyataan kepada media menegaskan keyakinan Mahrez tidak akan berpindah.
"Saya sangat yakin dengannya. Dia akan bertahan dan mahu bersama kami di sini," katanya pada sesi latihan pramusim di Austria.
"Dia menikmati dan bukan seorang pemain yang mengatakan: jurulatih, saya mahu pergi.
"Bukan seperti itu, dia bahagia," katanya seperti dilaporkan laman Leicester Mercury.
.@Mahrez22 loves leg day!
— Leicester City (@LCFC) 14 July 2016
??????#lcfcaustria pic.twitter.com/X8k2Xqjirf
Terdahulu, Ranieri juga memberi keyakinan kepada peminat dengan mempertahanan seorang lagi pemain berbisa mereka, Jamie Vardy yang cuba dilamar Arsenal dengan tawaran 20 juta pound sterling (RM118 juta).
Sementara itu Leicester City juga dilaporkan akan kehilangan seorang pemain utamanya, N'golo Kante.
Pemain kelahiran Perancis itu dikhabarkan menjadi buruan Real Madrid, Paris Saint-Germain, Juventus, Manchester United, dan Chelsea.
"Kami sudah menawarkan sambungan kontrak baru (Kante) sebelum dia tampil pada Euro 2016.
"Sekarang, saya tahu ada pasukan besar tertarik dengannya dan jawapan ada di tangan Kante sendiri," kata Ranieri.

