Seorang bekas wartawan veteran Muda Mohd Noor meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur petang tadi.

Beliau yang juga pernah bertugas dengan Malaysiakini dimasukkan ke Institut Kaji Saraf, HKL Isnin lalu selepas mengalami serangan angin ahmar.

Allahyarham berusia 56 tahun ketika menghembuskan nafas terakhir dan meninggalkan seorang balu.

Selain Malaysiakini, Muda pernah berkhidmat sebagai wartawan di akhbar Watan, Berita Harian dan terakhir di portal Berita Daily.

Jenazahnya akan dibawa ke kampung halamannya di Kuala Terengganu malam ini dan akan dikebumikan awal pagi esok.