Pulau Pinang akan mengambil beberapa pemain muda dari skuad Piala Presiden yang menunjukkan prestasi baik bagi memantapkan pasukan Harimau Kumbang untuk berdepan T-Team dalam saingan Liga Super 16 Julai ini.

Pengarah Urusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Bojan Hodak berkata pertukaran pemain diperlukan untuk memperbaiki corak permainan pasukan Harimau Kumbang.

"Kami akan menukar dua pemain dan sekarang kami sedang mencari pemain import yang sesuai," katanya kepada pemberita selepas perlawanan persahabatan antara Pulau Pinang dan Perlis di Stadium Bandaraya di George Town malam tadi.

Pulau Pinang menewaskan Perlis 2-1 kedua-duanya hasil jaringan Fitri Omar pada separuh masa pertama.

Turut hadir ketika perlawanan persahabatan itu ialah pemain pertahanan Obina Nwaneri yang pernah bermain bersama pasukan ATM dan kini bermain dengan pasukan Perlis.

Hodak berkata pihaknya sedang mengintai beberapa nama pemain import termasuk penjaring gol terbanyak Liga India, Ranti Martins.

Katanya pengumuman rasmi akan dibuat selepas semua dimuktamadkan.

Mengenai status pemain import yang ada dalam pasukan itu ketika ini, Hodak berkata Mathias Cordoba dan Osas Saha yang dahulunya menunjukkan prestasi yang baik, kini telah hilang keyakinan.

"Kami akan berbincang dengan mereka selepas ini. Bagaimanapun, ini tidak bermakna mereka akan digugurkan. Kami masih membincangkan perkara ini di peringkat pengurusan," katanya.

Sementara itu, Nwaneri ketika ditemui telah menyatakan hasratnya untuk bermain bersama pasukan Pulau Pinang di bawah kelolaan Hodak dan ketua jurulatih, Nenad Bacina tahun depan.

"Saya kini sedang bermain untuk Perlis dan setakat ini saya berasakan Pulau Pinang merupakan pasukan yang baik dan saya pasti ingin menyertainya pada tahun depan," katanya.


- Bernama