Exco: Lim tak perlu cuti, letak jawatan
Exco Pulau Pinang hari ini sebulat suara memutuskan Lim Guan Eng tidak perlu meletak jawatan atau bercuti selepas ketua menteri itu didakwa di mahkamah.
Timbaan Ketua Menteri Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata beliau sendiri mencadangkan perkara itu dan disokong Timbalan Ketua Menteri Kedua Dr P Ramasamy.
"Kami mempunyai kepercayaan penuh terhadap kepimpinan ketua menteri untuk memimpin exco dan kerajaan negeri Pulau Pinang,'' katanya pada majlis sidang media hari ini.
Lim ditahan dan dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 Jun lalu atas dua pertuduhan iaitu salah guna kuasa, dan perolehan harta di bawah nilai pasaran bagi kediaman di Jalan Pinhorn.
Tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Pencegahan Rasuah 2009 (berkaitan pengezonan semula sebidang tanah daripada pertanian kepada kegunaan komersial) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (pembelian sebuah unit banglo di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran).
Lim mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.
Sementara itu Ramasamy berkata kedua-dua tuduhan terhadap Lim adalah bermotifkan politik.
"Kami percaya bahawa beliau (Lim) tidak bersalah dan beliau tidak perlu meletak jawatan,'' katanya.
Sebelum ini DAP Pulau Pinang memutuskan Lim tidak perlu mengambil cuti daripada tanggungjawabnya sebagai ketua menteri.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata proses pendakwaan terhadap Lim tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.
"Jawatankuasa DAP negeri memberi jaminan operasi pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas oleh pendakwaan itu," katanya.

