Memasuki minggu kedua ada tiga perlawanan lagi bakal berlangsung pada malam ini - Sepanyol menentang Turki, Itali menghadapi Sweden dan Republik Czech bertemu Croatia.

Kemenangan Itali menundukkan Belgium yang dibarisi pemain bertaraf bintang memberi semangat tambahan untuk mereka berdepan dengan Sweden yang sekadar seri ketika bertemu Republik Ireland.

Berdepan Croatia, Czech pula tentu berazam untuk membuat kebangkitan meyakinkan selepas kecundang kepada Sepanyol dalam kumpulan D.

Sepanyol pula bakal berdepan dengan Turki pada jam 3 pagi (waktu Malaysia) esok.

Memang banyak pemain handal dan berbakat akan mempamerkan aksi masing-masing malam ini, namun elok juga dilihat kepada tiga daripada mereka yang lebih menonjol.

Leonardo Bonucci
Bersama Juventus, Bonucci sudah memenangi lima kejuaraan Serie A di Itali sejak 2012.

Pemain pertahanan itu juga dianggap Pep Guardiola sebagai seorang daripada pemain paling digemarinya.

Bermula sebagai pemain muda dengan kelab Inter Milan Bonucci tidak pernah mewakili pasukan remaja kebangsaan negaranya secara rasmi.

Namun sejak beberapa tahun ini dia menjadi pemain kegemaran ramai.

Dalam perlawanan pembukaan Itali bertemu Belgium Bonucci menunjukkan kemampuannya menyerang lawan dan menjadi penyumbang bola untuk Emanuele Giaccherini menyumbat gol negaranya.

Malam ini dia sepatutnya memainkan watak penting mengekang jentera serangan Sweden yang diketuai Zlatan Ibrahimovic.


Luka Modric
Pengaruh dan kemampuan pemain Real Madrid ini memang tidak dinafikan. Persembahannya semasa perlawanan pertama minggu lalu hanya sebahagian kecil daripada kemampuan yang ada pada Modric.

Dia mempunyai pelbagai helah untuk menghantar bola ke mana-mana posisi yang dimahukannya untuk mengucar-kacirkan lawan.

Berbanding Sepanyol yang akan didepani Croatia pada 21 Jun ini, Czech sepatutnya tidak banyak mendatangkan masalah buat Modric.

Kepakaran Modric, 30, mungkin banyak membantu Croatia untuk menumbangkan benteng pertahahan Czech, termasuk penjaga gol Arsenal, Petr Cech.

Alvaro Morata
Luka akibat prestasi amat hambar pada Piala Dunia 2014 nampaknya masih terasa di hati penyokong Sepanyol.

Kemenangan tipis mereka mengatasi Czech pada 13 Jun lalu belum cukup meyakinkan.

Tambahan pula skuad Vicente del Bosque kali ini tidak menyenaraikan beberapa nama besar seperti Diego Costa dan Fernando Torres.

Kekosongan itulah yang diisi Morata - seorang lagi pemain kelab Juventus.

Pada musim lalu Morata, 23, melakukan tujuh jaringan dan tujuh umpanan gol dalam Serie A. Ketajamannya turut menyebabkan namanya dikaitkan dengan beberapa kelab EPL.

Antaranya ialah Arsenal dan Manchester United.

Dibantu David Silva dan Nolito pada perlawanan pertama penyerang ini dijangka boleh memberi kesan besar terhadap keputusan berdepan dengan Turki pada awal pagi esok.