Hodgson buat pemain England 'berpeluh'
Tidak seperti biasa Pengurus England Roy Hodgson tidak menamakan pemain yang akan diturunkan lebih awal menjelang pertemuan dengan Wales malam ini.
Walaupun Hodgson diramal tidak membuat sebarang perubahan berbanding barisan ketika bertemu Russia Ahad lalu, tindakan dia melengah-lengahkan keputusan itu didakwa mencemaskan pemain.
Ketika pemain dibenarkan berehat dan tidur semalam, Hodgson masih tidak mengesahkan pemain pilihannya.
Keadaan itu mendorong sesetengah pihak menganggap pengurus itu belum dapat membuat percaturan muktamad bagi berdepan lawannya pada jam 9 malam (waktu Malaysia) ini.
Dalam perlawanan pertama kumpulan B pada 12 Jun lalu England hampir dapat membebaskan diri mereka daripada badi gagal menang dalam pertemuan terawal Euro.
Selepas mendahului 1-0 melalui jaringan Eric Dier pada minit ke-73. Beberapa saat sebelum wisel penamat ditiupkan Vasili Berezutski meranapkan impian England memperoleh tiga mata penuh dengan gol penyamaan pada waktu kecederaan.
Untuk berdepan Wales, England perlu membuat percaturan tepat kerana bersama anak buah Chris Coleman ada pemain termahal dunia, Gareth Bale.
Justeru Hodgson dan pegawainya dilapor mencuba beberapa formasi yang dirasakan sesuai untuk mengekang Bale dan rakan-rakannya.
Keputusan seri dengan Russia Ahad lalu juga mendorong peminat England mengutuk prestasi dua pemain England, Harry Kane dan Raheem Sterling.
Namun Hodgson tetap positif terhadap Kane dan Sterling.
Dianggap sebagai "pemain paling dibenci", Hodgson tetap tenang dan melihat Sterling kini dalam keadaan mental serta fizikal yang baik.

