Generasi kolot diancam kesedaran baru
Rakyat lebih bijak dan berani membuat keputusan politik kerana kejayaan kerajaan sendiri dalam bidang pendidikan dan adanya alat-alat komunikasi yang canggih, seperti komputer, telefon bimbit, teknologi maklumat, dan Internet tanpa bergantung kepada media (arus) perdana semata-mata.
Keadaan ini jelas kelihatan dengan kemunculan generasi yang mendukung perubahan dan kesedaran baru yang begitu berani menentang elit politik yang dominan. Generasi ini tidak lagi terpengaruh dengan fahaman politik yang mereka anggap sempit dan sering dijelmakan dalam bentuk perkauman dan keagamaan.
Generasi ini tidak seharusnya ditentang malahan kepimpinan negara harus mendekati mereka dan menyesuaikan diri dengan tanda-tanda ketamadunan negara kita sendiri. Mereka tidak seharusnya dicap sebagai antinasional.
Sebenarnya pertarungan antara kedua-dua golongan ini menjurus kepada pertarungan untuk meneruskan peradaban lama pada satu pihak dengan golongan yang memperjuangkan peradaban baru pada satu pihak yang lain. Kepada saya, (begitulah) tanda-tanda dan implikasinya.
Mana-mana kumpulan politik yang masih kolot, iaitu enggan menerima hakikat perubahan dan kesedaran ini pasti akan kecundang dalam peradaban baru.
Meskipun agama dan bahasa merupakan sempadan sesebuah peradaban, namun atas nama hak asasi manusia dan kebebasan asas, kedua-duanya bukan lagi menjadi sempadan. Kebebasan asas untuk semua - tanpa mengira kaum, ras, jantina, bahasa dan agama.
Pertembungan budaya besar
Malahan, PBB memperluaskan Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia tahun 1948 dengan memasukkan pada 1966 - dan diperkukuhkan lagi pada 1993 - hak-hak ekonomi, sosial dan budaya sebagai hak asasi manusia dalam skop undang-undang antarabangsa, selain daripada hak asasi politik.
Daripada perkembangan ini, sesebuah negara atau sesuatu masyarakat boleh dianggap beradab ataupun sebaliknya dengan diukur mengikut amalan demokrasi dan hak asasinya.
Di peringkat individu, hak asasi manusia selari dengan peradaban kerana seseorang yang menegakkan hak asasi manusia dengan secara langsung menegakkan kepentingan peradaban masyarakatnya.
Hak asasi manusia juga selari dengan peradaban dari segi keselamatan, iaitu peradaban ditafsirkan sebagai kelakuan tanpa kekejaman dalam kehidupan seharian atau dalam maksud yang lebih luas - adab sopan. Setiap peradaban ingin memastikan warganya menikmati hak untuk mendapat makanan, pakaian, tempat tinggal dan hak meningkatkan kebahagian hidup.
Kedudukan Malaysia yang strategik dari segi geografi, iaitu pada laluan Timur-Barat, menyebabkan negara kita menjadi pusat pertembungan peradaban dunia, seperti Hindu, China, Islam, dan Barat.
Kedudukan strategik Asia Tenggara di persimpangan jalan antara Timur-Barat membolehkan rantau ini menjadi pusat pertembungan dan peleburan tradisi budaya besar. Pertembungan ini mengukuhkan dan mengayakan peradaban Malaysia yang wujud pada hari ini.
Selepas merdeka, dasar sosial, dasar pendidikan dan dasar ekonomi yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan turut memberikan sumbangan kepada peradaban Malaysia. Demikian juga Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja penting dari segi keluhuran undang-undang dan pembahagian kuasa, tetapi juga penting dari segi falsafah yang tersirat dalam Perlembagaan itu.
Falsafah ini menyediakan asas yang kukuh untuk kerukunan hidup bermasyarakat dan bernegara. Dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan, seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar Kebudayaan Kebangsaan, dan Dasar Pelajaran Kebangsaan mencerminkan keseimbangan antara ekonomi dan komersial dengan sosial dan budaya yang tidak mengetepikan hakikat sejarah dan peradaban.
Toleransi politik menjunam
Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang melebihi kadar 8 peratus setahun antara 1988 hingga 1997 mendorong pemerintah melaksanakan dasar yang sesuai dengan era pensejagatan, seperti liberalisasi dalam bidang ekonomi, pendidikan dan budaya. Pertumbuhan ekonomi negara yang begitu tinggi selama satu dekad menyebabkan kebanyakan rakyat menikmati kemewahan.
Ketika itu, soal kuota dan soal-soal berbau perkauman jarang-jarang diungkit kerana setiap orang menikmati habuan masing-masing daripada 'kek (ekonomi) yang sedang berkembang'. Dalam masa yang sama, kebanyakan rakyat Malaysia yang dibuai oleh budaya kemewahan semakin terpisah daripada realiti sosial dan kekhususan sejarah.
Tetapi, dalam keadaan kemerosotan ekonomi sejak 1997, beberapa isu yang sudah lama tersimpan dalam lipatan sejarah, kini diungkit semula, menimbulkan semula perasaan prasangka dan perseteruan berdasarkan kaum. Toleransi kemajmukan budaya yang diamalkan selama ini berubah menjadi pertarungan budaya. Martabat agama, intelektual dan sosial menurun. Tahap toleransi di bidang politik pun semakin menjunam.
Dalam keadaan sedemikian, masyarakat semakin lemah dan semakin berkurangan golongan yang rela berkorban untuk masyarakat. Kumpulan sosial yang menguasai lebihan ekonomi menggunakan lebihan itu demi kepentingan peribadi, iaitu memuaskan ego mereka, seperti suka menunjuk-nunjuk, bersaing untuk mendapatkan penghormatan dan martabat sosial.
Pada akhir-akhir abad ke-20, Bill Clinton dan Tony Blair mengemukakan 'Laluan Ketiga' (the third way), Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengemukakan 'nilai Asia', dan ketika berucap di PBB, Gorbachev mencadangkan 'kesatuan dalam kepelbagaian'. Tetapi pada hemat saya, yang sangat menarik ialah ketika Pramoedya Ananta Toer mengemukakan idea 'bumi semua manusia.'
Saya berharap Kongres Peradaban Malaysia ini memikirkan bersama dan mencari jalan ke arah pembinaan sebuah peradaban dunia pada abad ke-21. Saya harap ucapan ini dapat menjolok-jolok pemikiran peserta semua.
Kita pasti tidak akan menggegar dunia dengan pendapat-pendapat kita. Tetapi sekurang-kurangnya insya Allah, negara kita yang kita kasihi ini tidak dikongkong oleh apa yang saya katakan awal tadi sebagai 'nasionalisme haprak' yang akan meninggalkan kita daripada peradaban dan tamadun dunia serba mencabar ini.
Tulisan Tan Sri MUSA HITAM ini sedutan ucap utama beliau ketika merasmikan Kongres Peradaban Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 12 Jun. Ia dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.

