rencana Bahagian 1 Kalau kita lihat sejarah, sebenarnya dunia lama iaitu Eurasia dan Afrika telah mengalami pensejagatan (globalisasi) sejak tahun 500 sebelum Masihi hingga 1500 Masihi dengan adanya 'Jalan Sutera' dan berlakunya perpindahan teknologi serta penyebaran agama.

Ilmu dan teknologi mendorong kepesatan proses pensejagatan. Seperti yang disebut oleh Pramoedya Ananta Toer dalam novel Bumi Manusia-nya: "Ilmu pengetahuan semakin banyak melahirkan keajaiban... Orang Jerman telah memasang kawat laut dari Inggeris sampai ke India!

"Dan kawat semacam itu membiak berjuluran ke seluruh permukaan bumi. Seluruh dunia kini dapat mengawasi tingkah laku seseorang. Dan orang dapat mengawasi tingkah laku seluruh dunia."

Dengan perkataan lain, dalam zaman kampung sejagat ini, tidak ada negara yang bertamadun dapat bersembunyi daripada peradaban dunia ini yang semakin kecil.

Tetapi, pada penghujung abad ke-20 lalu beberapa pergolakan baru telah timbul. Apabila krisis kewangan melanda Asia mulai Julai 1997, perkembangan pensejagatan yang melanda dunia - meliputi bidang budaya, komunikasi, ekonomi dan politik - ditolak pula oleh sesetengah pihak warga dunia.

Pensejagatan, pada mulanya dianggap dewa baru yang dapat mengubah segala aspek kehidupan manusia dan seterusnya membawa kesejahteraan kepada mereka, mula diragui. Sebagaimana pertembungan peradaban yang menyebabkan seluruh isu peradaban dibicarakan, begitu juga dengan pensejagatan akibat krisis kewangan yang seterusnya mencetuskan krisis politik.

Dalam kepesatan proses pensejagatan kini, timbul dua fahaman yang bertentangan, iaitu kosmopolitanisme dan fundamentalisme. Kosmopolitanisme yang mengalu-alukan pensejagatan, dianggap progresif dan memandang ke depan. Dari segi ekonomi, kosmopolitanisme memperjuangkan pasaran bebas yang membenarkan modal kewangan menjelajah dari sebuah negara ke sebuah negara.

Dihantui oleh ketakutan

Kosmopolitanisme menyebarkan idea dan menangani tentangan terhadap perubahan daripada fundamentalisme, seperti golongan tempatan yang berasa kuasa mereka tergugat. Manakala fundamentalisme pula tidak yakin pada pensejagatan. Gerakan fundamentalisme ini muncul dalam bentuk keagamaan, keperibumian, etnik, tempatan dan nasionalisme.

Fundamentalisme dihantui oleh ketakutan tentang kehilangan unsur asas kewujudan manusia. Fundamentalisme agama mengesyorkan supaya kita kembali ke zaman silam apabila berhadapan dengan gelombang pensejagatan. Ia menimbulkan ketakutan dan kerisauan.

Kosmopolitanisme yang mendukung kepentingan ekonomi sejagat terpaksa menghadapi konflik dengan kepentingan politik tempatan, seperti yang berlaku di kebanyakan negara, termasuk Malaysia. Kepentingan politik tempatan tidak akan membiarkan kepentingan ekonomi sejagat berkembang sewenang-wenangnya.

Kemunculan kosmopolitanisme dengan fundamentalisme yang saling bertentangan ini meninggalkan kesan terhadap sesebuah peradaban apabila melibatkan fundamentalisme agama, golongan tempatan, dan nasionalis haprak. Ketiga-tiga golongan ini membangkitkan kesedaran baru dan seterusnya membawa bibit pertentangan dengan elit kosmopolitanisme, malahan pertentangan dalam sesebuah peradaban dan antara peradaban.

Fundamentalisme agama, golongan tempatan, dan nasionalis haprak yang cuba memisahkan diri daripada pensejagatan, pada hemat saya, akan menutup atau menyempitkan pendedahan masyarakat pada peradaban zaman teknologi maklumat ini.

Meskipun pensejagatan menimbulkan pelbagai keburukan, sejak kebelakangan ini dikritik oleh para sarjana dan pemimpin, termasuk kepimpinan Malaysia. Namun pensejagatan budaya mendorong perkembangan nilai-nilai tersendiri yang sebenarnya berasal-usul daripada nilai-nilai sejagat (universal) daripada semua agama terkemuka di dunia.

Ke pangkuan demokrasi

Nilai ini ternyata dalam bentuk susunan sosial yang mengiktiraf hak dan jati diri individu, dan usaha-usaha di peringkat antarabangsa untuk melindungi demokrasi dan hak asasi manusia.

Demokrasi dan hak asasi manusia merupakan petunjuk penting peradaban pada abad ke-20. Kepentingan ini bukan kerana demokrasi dan hak asasi manusia lahir dan berkembang dalam peradaban Barat, tetapi kerana kedua-duanya memberikan sumbangan kepada kebahagiaan hidup manusia sejagat. Demokrasi dianggap sebagai sosiopolitik dan norma etika semua masyarakat.

Kelahiran masyarakat industri selepas Revolusi Industri di Barat membawa kesan kebaikan kerana peradaban manusia terlepas daripada cengkaman Zaman Gelap (Dark Ages). Perubahan ini menuntut pihak pemerintah supaya lebih peka terhadap demokrasi dan hak asasi manusia.

Demokrasi memberikan sumbangan yang besar terhadap peradaban dunia kerana berjaya membebaskan manusia daripada pemerintahan kuku besi dan memberikan peluang kepada rakyat menentukan haluan masa depan mereka. Hinggakan golongan yang menganggap demokrasi Barat sebagai sekular dan tidak sesuai mengikut edaran sistem nilai mereka turut menggunakan demokrasi itu sendiri untuk mengejar atau mengekalkan kuasa.

Sepanjang masa ketika saya terlibat di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sama ada di New York, di Geneva atau di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB, termasuk sebagai pengerusi badan dunia ini, dan sekarang masuk tahun keenam sebagai anggota CMAG (Kumpulan Bertindak Menteri Komanwel), jelas saya nampak demokrasi berkembang.

Negara-negara yang mengalami 'penculikan' terhadap demokrasi seperti Nigeria (dulu), atau Pakistan dan Fiji (sekarang) mengisytiharkan bahawa mereka akan balik ke pangkuan demokrasi dan akan terus menegakkan hak asasi manusia. Bilangan negara yang mengamalkan demokrasi - dan kesedaran warga dunia tentang demokrasi dan hak asasi manusia - semakin meningkat, walau menghadapi apa pun tentangan.

[Bahagian 2 di bawah]


Tulisan Tan Sri MUSA HITAM ini sedutan ucap utama beliau ketika merasmikan Kongres Peradaban Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 12 Jun. Ia dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.