Hudud: Mula-mula Kelantan, selepas itu semua negeri - MCA
Rang Undang-undang (RUU) persendirian PAS untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 akan memberikan duluan dan contoh tidak baik buat negara ini, jika diluluskan kelak, kata MCA.
Ketua Wanitanya, Heng Seai Kie berkata, selepas Kelantan, negeri-negeri lain juga akan berlumba-lumpa untuk melaksanakan hukum hudud atas alasan kesolehan keagamaan.
“Langkah seperti itu akan membuka laluan gelombang besar di semua negeri lain untuk membentangkan RUU yang sama, dengan lebih banyak entiti politik bertanding antara satu sama lain untuk menunjukkan mereka soleh, tetapi sebaliknya untuk mengejar keserasian politik.
“Sejurus itu, tiada apa lagi boleh menyekat kemaraan ahli-ahli parlimen PAS dari negeri-negeri lain untuk membentangkan RUU yang sama di Dewan Rakyat untuk menguat kuasa apa jua hukuman mengikut enakmen negeri masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang juga menteri pengangkutan serta Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong yang dilantik sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri menegaskan akan meletakkan jawatan dalam kabinet sekiranya RUU hudud diluluskan.
Di sebalik itu, penceramah bebas, Ridhuan Tee Abdullah pula mengumumkan keluar MCA sebagai tanda protes pada penentangan berterusan parti itu terhadap hudud.
“Kerana perkembangan akhir-akhir ini (hudud). Saya tidak mahu menanggung dosa berada dalam parti sebegini,” katanya.
Mengulas lanjut, Heng berkata, MCA akan terus lantang dan konsisten menentang pindaan RUU itu kerana bersifat diskriminasi dan bercanggah dengan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kesaksamaan.
Sementara itu, Ketua Wanita MIC, Mohana Muniandy pula berkata, hudud tidak akan berjaya di Malaysia.

