Dewan Ulama PAS meminta supaya anggota parti Islam itu mendekati kelompok Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

Ketuanya, Datuk Mahfodz Mohamed berkata, perkara itu perlu dilakukan berikutan lambakan kerosakan akidah dan pemikiran yang ada di negara ini.

Malah, beliau juga mengutuk tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang didakwa menjadi kerajaan pertama di Malaysia yang memberikan pengiktirafan terhadap golongan itu melalui Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang.

"Dewan Ulama PAS mengutuk semua sokongan yang ada dalam budaya kaum Lut ini.

"Maka kita perlu mendampingi semua kelompok termasuklah kelompok LGBT supaya mereka dapat bersama PAS untuk diberikan kefahaman Islam yang sebenarnya dan seterusnya membawa mereka kepada pemahaman Islam sebagai satu cara hidup yang boleh menyelamatkan dunia dan akhirat," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-55 di Tok Bali, Kelantan malam tadi.

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang mengadakan mesyuarat pertamanya pada 17 Mei lalu di Dewan Undangan Negeri selepas tujuh tahun melobi ia dibentuk.

Ia diketuai oleh ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu sebagai pengerusi sementara jawatankuasa tersebut.

Selain itu, Mahfodz juga menyeru supaya seluruh ulama memimpin masyarakat supaya memahami kandungan al-Quran agar memahami takrifan agama yang sebenarnya.

Katanya, apa yang difahami masyarakat kini ialah menakrifkan Islam itu sebagai satu agama dan bukan bahasa dari al-Quran.

Beliau turut mendakwa, dengan pemahaman tersebut, Umno dan juga Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB) di Sarawak didakwa telah tidak melaksanakan cara hidup Islam yang sebenar.