Leicester bersemangat menuju puncak
Ratusan penyokong semalam berbaris untuk mendapatkan tiket menyaksikan perlawanan terakhir Leicester City di gelanggang lawan melalui skrin besar di Stadium King Power.
Kira-kira 1,600 tiket dijual pada tengah hari (waktu tempatan) untuk peminat yang tidak dapat hadir sendiri ke Old Trafford atau Stamford Bridge menyaksikan The Foxes bertarung.
Dengan kemenangan 4-0 menumbangkan Swansea City malam tadi, kejuaraan EPL boleh dicapai lebih awal di Old Trafford Ahad depan - dengan syarat Tottenham Hotspur kalah atau seri menentang West Brom Albion awal pagi esok.
Statement made!
Two Leonardo Ulloa goals send Leicester City 8 points clear with 4-0 victory over Swansea City. pic.twitter.com/YfJNG2CK9S
— SportsCenter (@SportsCenter) April 24, 2016
Namun sesetengah penyokong Leicester berpendapat kelab mereka wajar menyediakan skrin besar di Stadium King Power atau di tengah bandar raya itu supaya lebih ramai peminat dapat meraikan detik bersejarah berkenaan.
Malah dua penduduk Humberstone mengusahakan petisyen mendesak Majlis Bandar Raya Leicester dan kelab berkenaan menyediakan beberapa skrin besar di lokasi terpilih di kota berkenaan.
Terserah budi bicara kelab
Hampir 7,500 tandatangan sudah dikumpul bagi menyokong petisyen berkenaan sehingga awal pagi tadi.
Pemegang 1,600 tiket khas itu diberi peluang menyaksikan perlawanan menentang Manchester United secara langsung dari Old Trafford di ruang rehat Stadium King Power.
Datuk Bandar Leicester Peter Soulsby sebelum ini menyatakan terpulang kepada kelab berkenaan untuk memenuhi kehendak penyokong mereka dan boleh berunding mengenai hak penyiarannya.
Leicester kini semakin kukuh di tempat pertama EPL dengan meninggalkan pencabar terdekat, Spurs, lapan mata di belakang.
Situasi itu bermakna jika Spurs seri dengan West Brom, jurang antara kelab itu dengan Leicester masih ada tujuh mata dengan baki perlawanan masih ada tiga.
Ia dianggap peluang sekali seumur hidup untuk meletakkan Leicester di tempat teratas EPL - atau sekurang-kurangnya untuk kali pertama sejak kelab itu ditubuhkan 132 tahun lalu.
Sementara itu Pengurus Leicester Claudio Ranieri malam tadi menggesa pemainnya menyempurnakan misi mereka dan menjulang piala EPL kali ini.
Tanpa sebarang bintang bertaraf dunia Leicester hanya perlukan lima mata daripada tiga perlawanan terakhir musim ini.
Menggapai impian
Kemenangan selesa The Foxes malam tadi berlaku ketika senjata utama mereka Jamie Vardy tidak dapat diturunkan kerana menjalani hukuman penggantungan perlawanan.
Penyerang gantian Vardy, Leonardo Ulloa menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-30 dan 60, manakala Riyad Mahrez menggegarkan gawang Swansea pada minit ke-10. Marc Albrighton melengkapkan kesengsaraan Swansea di minit ke-80.
Leicester City have only been behind in the Premier League for 56 minutes since the end of October. pic.twitter.com/fJsuLfplyQ
— bet365 (@bet365) April 24, 2016
Sebelum perlawanan bermula Ranieri berpesan kepada pemainnya bahawa sebelum ini mereka mempunyai impian yang amat indah.
"Kini masa untuk kamu semua menjadikan impian itu suatu kenyataan.
"Ini adalah detik yang tepat untuk mencuba. Jika Spurs lebih baik daripada kita, biarlah, tetapi kita mesti berjuang kerana kita tidak pernah mendapat detik hebat begini.
"Ia amat penting kepada sejarah kita. Justeru, kita perlu memberikan segala-galanya untuk Leicester. Kita bermain dengan jiwa dan raga kerana pasukan yang memberikan segala-galanya akan sukar dikalahkan," katanya.
Mengikut perkiraan Ranieri, Spurs akan memenangi semua tiga baki perlawanan akan datang dan Leicester hanya perlukan lima mata untuk mengakhir musim ini di tempat pertama.
"Ia tidak mudah tetapi kita perlu memberi sepenuh perhatian dan mencuba sedaya upaya," katanya.

