Najib, Arul harus dilarang keluar negara - DAP
Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda dilarang ke luar negara sehingga siasatan polis mengenai Kumpulan 1MDB selesai.
Selain Najib dan Arul, semua pihak pengurusan termasuk bekas CEO 1MDB, Datuk Shahrul Azral Ibrahim Halmi juga sepatutnya diharamkan keluar dari Malaysia.
"Kesemua pengurusan yang bertanggungjawab ke atas 1MDB, termasuk Najib, Shahrol Azral malah Arul Kanda sendiri wajar dihalang daripada meninggalkan negara sementara siasatan tersebut selesai.
"Ini penting kerana setiap seorang daripada mereka berpotensi melarikan diri ekoran jumlah yang begitu besar," jelas beliau dalam kenyataan, hari ini.
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporan yang dibentangkan pada 7 April yang lalu antara lain mengesyorkan pihak berkuasa supaya menyiasat Shahrol Azral dan pihak berkaitan dengan pengurusan syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu.
Susulan daripada itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memaklumkan pihaknya masih meneliti laporan PAC setebal 106 muka surat itu yang menuntut masa untuk menjalankan pemeriksaan terperinci untuk memeriksa jika terdapat sebarang unsur yang mewajarkan siasatan dan tindakan lanjut.
Mengulas lanjut, Lim berkata, pada masa yang sama, Arul Kanda harus membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara jika benar tidak terlibat dalam penipuan dan aib oleh Aabar BVI.
Ujar beliau, undang-undang Malaysia memperuntukkan mana-mana mangsa jenayah penipuan hendaklah membuat laporan bagi membuktikan bahawa bukan Najib dan Arul Kanda yang disyaki melakukan penipuan tersebut.
"Dengan Najib sebagai penanda tangan tunggal dana 1MDB dan Arul Kanda sebagai CEO perlu benar-benar tegas jika tidak terlibat dengan penipuan dan aib terbesar abad ini.
"Arul beri gambaran semalam bahawa dana AS$3.5 bilion ditipu oleh syarikat palsu Aabar tersebut dan sekiranya Najib dan Arul enggan membuat laporan, merekalah yang sewajarnya disyaki melakukan penipuan tersebut," ujarnya lagi.

