'Peguam di Bukit Aman bukan berhimpun atau protes'
Peguam yang berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam bukannya mahupun mengadakan protes seperti yang dilaporkan, jelas Badan Peguam Malaysia hari ini.
"Ia bukan satu protes atau perhimpunan. Saya tidak tahu dari mana anda dapat idea demikian,” kata naib presidennya, George Varughese kepada Malaysiakini hari ini.
Menurutnya, Badan Peguam hanya meminta ahli-ahli supaya berkumpul di Bukit Aman sebagai menunjukkan sokongan kepada rakan-rakan mereka yang diarahkan oleh pihak polis untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan.
Meskipun demikian, Varughese berkata, beliau tidak fikir jumlah yang hadir itu adalah mengecewakan seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini kerana terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan, antaranya acara itu diadakan pada petang Khamis hari bekerja.
"Ramai ahli mahu datang tetapi memaklumkan kepada kami melalui e-mel bahawa mereka terpaksa berada di mahkamah dan perkara seumpama itu.
"Memandangkan (tiga) ahli kami hanya memberi kenyataan, jumlah yang hadir tidak sama sekali mengecewakan," katanya.
Semalam, polis merakamkan kenytaaan tiga peguam dan setiausaha Majlis Peguam, Karen Cheah berkaitan usul yang dibentangkan mereka pada mesyuarat agung tahunan ke-70 Badan Peguam Malaysia pada 19 Mac lalu.
Usul itu membincangkan kedudukan Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali kerana enggan mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung deposit di akaun bank peribadinya.
Selain Cheah, mereka yang hadir adalah Charles Hector, Francis Pereira dan R Shanmugam.
Kenyataan keempat-empat mereka itu adalah mengikut Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah, bagi maksud penyiasatan yang berbangkit daripada aduan berkenaan dengan Seksyen 4 (1) (a ) Akta Hasutan 1948.

