Lelaki yang didakwa menjadi perancang keganasan di selatan Thai, yang ditangkap di Malaysia minggu lalu, adalah rakyat negara itu dan usaha sedang dibuat supaya dia dihantar balik ke negara itu, kata Menteri Luarnya Surakiart Sathirathai hari ini.

Bercakap kepada pemberita sebelum menghadiri mesyuarat kabinet, beliau berkata, Thailand akan menyerahkan bukti kepada kedutaan Malaysia bahawa lelaki tersebut adalah rakyat Thai dan kedua-dua negara telah menandatangani perjanjian untuk ektradisinya.

"Kami mempunyai bukti kukuh yang dia adalah rakyat Thai," kata Surakiart.

"Pendirian Thailand ialah kami mempunyai perjanjian ekstradisi itu sejak tahun 1911, dan perjanjian itu telahpun disahkan semula, yang terbaru pada tahun lalu," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata lelaki tersebut adalah rakyat Malaysia, dan kedua-dua negara tidak mempunyai perjanjian ektradisi.

Rakyat Malaysia atau Thai?

Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra memberitahu pemberita sebelum ini yang lelaki tersebut mungkin mempunyai dua kerakyatan Thai dan Malaysia, yang tidak dibenarkan di bawah undang-undang Malaysia.

"Di bawah undang-undang Malaysia, mereka tidak dibenarkan mempunyai dua kerakyatan, jadi dia perlu lepaskan satu daripadanya. Kami akan membincangkannya dengan pihak Malaysia berdasarkan kepada bukti yang kami ada," tambahnya.

Pihak berkuasa Thai telah menyenaraikan Chae Kumae Kuteh, yang juga dikenali sebagai Doramae Kuteh, sebagai orang yang paling dikehendaki, yang didakwa menjadi perancang rompakan depoh senjata tentera pada 4 Januari 2004, yang mencetuskan keganasan di selatan Thai.

Surakiart berkata, pakar undang-undang antarabangsa dari kedua-dua negara akan bertemu untuk menentukan sama ada lelaki tersebut boleh diekstradisi untuk didakwa di mahkamah Thailand.

Khamis lalu, Malaysia berkata, lelaki yang ditangkap itu, yang dikenali sebagai Abdul Rahman Ahmad, juga dikenali sebagai Deraman Koteh, dipercayai lelaki yang dikehendaki di Thailand berhubung rompakan depoh senjata tentera itu.

Pergolakan membabitkan puak pemisah Islam di selatan Thai telah menjadi "duri dalam daging" dalam hubungan antara kedua negara, dan tangkapan lelaki itu minggu lalu turut mencetus perang mulut antara Surakiat dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Masyarakat Islam Malaysia terkilan dengan dengan kenyataan Thaksin mengenai pergerakan puak militan Islam Thai, yang sebahagian besarnya mempunyai saudara mara di negeri-negeri di kawasan bersempadan.

- AFP