Tindakan kerajaan tidak membenarkan nelayan tempatan menyewa bot laut dalam asing tidak menjejaskan industri perikanan negara, terutamanya bekalan ikan di pasaran tempatan.

Ini kerana sebelum inipun, hasil tangkapan bot sewaan tersebut didaratkan di Thailand dan sedikit di Indonesia dan Filipina, kata jurucakap Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) ketika dihubungi malaysiakini hari ini.

"Daripada 300 bot laut dalam asing yang disewakan itu, tiada sebuahpun yang mendaratkan hasil tangkapan di pelabuhan perikanan di Malaysia. Apa yang berlaku, kita membeli ikan tangkapan mereka di pelabuhan negara jiran.

"Dalam bahasa yang mudah, kita membeli ikan yang dihantar ke negara orang tetapi ditangkap di dalam laut negara kita," katanya.

Beliau berkata, ikan dibeli semula dari negara jiran itu, menyebabkan harga di pasaran tempatan mahal kerana kos pengangkutan dan penyimpanan yang tinggi.
"Buat sementara kita boleh mendapatkan ikan dari Bangladesh, Burma dan Vietnam bagi menggantikan ikan yang ditangkap oleh bot yang disewa oleh pengusaha ikan tempatan," katanya.

Rugi khazanah negara

Menurutnya, Nekmat yakin harga ikan di pasaran tempatan tidak akan naik secara mendadak kerana bekalan ikan sentiasa mencukupi.

Jurucakap Nekmat tersebut berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani tidak membenarkan lagi nelayan tempatan menyewa bot laut dalam dari negara asing.

Difahamkan, kerajaan mengeluarkan 300 permit untuk membenar nelayan menyewa bot dari Thailand dan beberapa negara lain.

Beliau berkata, langkah kerajaan itu memang kena pada masanya kerana langkah pengusaha menyewa bot dari pemilik asing hanya merugikan khazanah laut negara yang diangkut secara berleluasa untuk didaratkan di negara mereka.

"Sudah sampai masanya untuk pengusaha membeli sendiri bot besar untuk digunakan bagi menangkap ikan di negara kita," tambahnya.

Beliau berkata, kewangan bukan lagi menjadi masalah utama kerana kerajaan dan institusi kewangan tempatan menyediakan pembiayaan dan pinjaman kepada pengusaha bot laut dalam.