Pembunuhan Dharmendran: Empat polis diperintah bela diri
Empat anggota polis hari ini diperintahkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan untuk membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian N Dharmendran yang berada dalam tahanan pada tahun 2013.
Panel yang diketuai oleh Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, yang membebaskan keempat-empat mereka pada 12 Disember, 2014.
Mahkamah Rayuan mendapati ada bukti bagi mengaitkan mereka dengan pembunuhan itu berdasarkan luka yang dialami oleh Dharmendran empat hari sebelum kematiannya pada 21 Mei 2013.
Polis menahan Dharmendran pada 12 Mei, 2013.
Keempat-empat anggota polis itu adalah Inspektor S Hare Krishnan, 42, dari Sungai Petani, Kedah; Sarjan Jaffri Jaafar, 46; Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47 dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya juga menetapkan 2 Mac ini untuk sebutan semula kes itu di Mahkamah Tinggi. Mereka akan direman sehingga perbicaraan kes itu selesai.
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Rayuan hari ini meminda keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan empat anggota polis atas pertuduhan membunuh N Dharmendran hampir empat tahun lepas semasa dia ditahan di dalam lokap polis.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Mohtaruddin Baki membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan pembebasan keempat-empat anggota polis itu dan memerintahkan mereka membela diri atas pertuduhan membunuh.
Beliau berkata terdapat keterangan mengikut keadaan yang amat banyak membabitkan empat anggota polis berkenaan -- Inspektor S. Hare Krishnan, 42, Sarjan Jaffri Jaafar, 46, Koperal Mohd Nahar Abd Rahman, 47, dan Koperal Mohd Haswadi Zamri Shaari, 34.
Kesemua anggota polis itu, yang dibebaskan selama lebih setahun, kembali ke penjara hari ini selepas mahkamah memerintahkan mereka ditahan sementara menunggu kes mereka selesai.
Mereka didakwa membunuh Dharmendran, 32, di bilik soal siasat Bahagian Jenayah Berat (D9), Tingkat 7, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah antara 18 dan 21 Mei 2013.
Mereka berdepan hukuman mati jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam keputusannya, Hakim Mohtaruddin berkata mahkamah mendapati Dharmendran mengalami 52 kecederaan semasa dalam tahanan polis.
Beliau berkata secara berasingan, kecederaan itu mungkin tidak mengakibatkan kematian Dharmendran, bagaimanapun, kecederaan secara terkumpul boleh mengakibatkan kematian.
Panel tiga hakim yang turut dianggotai Datuk Seri Zakaria Sam dan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Karim Abdul Jalil mengembalikan kes itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi anggota polis terbabit membela diri dan menetapkan 2 Mac untuk sebutan.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamardin Hashim membebaskan keempat-empat anggota polis itu pada 12 Dis 2014 daripada pertuduhan membunuh, di akhir kes pendakwaan tanpa memerintahkan mereka membela diri.
Dharmendran ditahan atas dakwaan cuba membunuh membabitkan senjata api.
Peguam M Athimulan mewakili Hare Krishnan manakala peguam bagi anggota polis lain ialah Datuk Baljit Singh Sidhu dan Hisyam Teh Poh Teik.
Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan dan Hanim Abd Rashid mewakili pendakwaan.

