Nada Biru tak perlu jadi 'nada pink'
Tanpa tajaan seperti kebanyakan konsert lain, persembahan Malam Nada Biru nanti dilihat lebih istimewa - sekurang-kurangnya pada penganjur.
Sebabnya, konsert berkenaan mendapat 'tajaan' langsung peminat yang membeli tiket dan penonton pula berpeluang menyaksikan dua generasi bersama-sama mengalunkan vokal di atas pentas.
Biarpun tanpa penaja, penyanyi selaku penerbit dan pemilik produksi Mujik Productions, Atilia Haron, 42, berkata, harapan dan semangatnya untuk meneruskan konsert itu tidak pula terhenti begitu saja.
“Mulanya saya gigih mencari penaja tetapi usaha itu tidak mendatangkan hasil.
“Sememangnya hati dan impian saya terbakar sedikit demi sedikit selepas semuanya ditolak, tetapi akhirnya saya berhenti mencari lagi.
“Justeru, saya mula memfokuskan pada jualan tiket daripada penajaan.
“Daripada hasil jualan itulah kami akan bahagikan sama rata antara artis nanti,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media Malam Nada Biru di Istana Budaya semalam.
Artis dua generasi
Ini adalah edisi ketiga Malam Nada Biru, selepas pertama kali diadakan pada 2009 dengan artis Atilia dan Noryn Aziz.
Pada 2010 pula, konsert itu membariskan penyanyi seperti Najwa Mahiaddin dan Yuna.
Konsert yang dijadual berlangsung pada 5 dan 6 Mac di Istana Budaya itu diadakan bersempena meraikan Hari Wanita Sedunia.
Tiket berharga RM80, RM180, dan RM200 sudah mula dijual dan boleh didapati menerusi tiaharon@gmail.com
Malam Nada Biru menggabungkan dua generasi artis.
Selain Atilia, mereka yang lain adalah Adibah Noor, Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Yusni Hamid, ibu Atilia iaitu Salamiah Hassan, Jaclyn Victor dan Dina Nazir.
Selain itu, penonton juga dapat mendengar anak bekas timbalan perdana menteri Muhyiddin Yassin, Najwa Mahiaddin bernyanyi pada malam itu.
Mungkin timbul persoalan kurang enak apabila konsert yang dibarisi artis hebat tetapi malangnya, tidak mendapat tajaan daripada pihak diharapkan dapat memberi sokongan.
Menurutnya, biarpun tanpa penaja, banyak individu tampil membeli sejumlah tiket sebagai tanda sokongan.
Kalau difikirkan di sebalik isu tanpa penaja, Atilia beranggapan ada hikmah di sebaliknya.
Produksi yang bergerak tanpa penaja sebenarnya memberi kelebihan dan ‘kebebasan’ kepada Atilia.
“Ada juga baiknya bergerak tanpa penaja. Malam itu tidak perlu jadi Malam 'Nada Pink'.
“Kami tidak perlu tukar warna lain kalau dengan adanya penajaan, ia lebih bebas,” katanya.
Sukan bola sepak negara kini menyaksikan kemasukan penajaan besar ke liga kebangsaan bermula dengan penyaluran dana syarikat kosmetik Qu Puteh terhadap Kelantan.
Bagaimanapun, beberapa syarat dikenakan, termasuk mewarnakan stadium negeri dengan warna merah jambu.

