Rafizi dedah dokumen ‘derma’ PRU-13 BN
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli hari ini mendedahkan beberapa baucar bayaran yang didakwanya mengandungi maklumat terperinci bagaimana BN mendapat manfaat daripada RM2 juta wang pembayar cukai untuk membiayai kempen pilihan raya umum ke-13.
Pendedahan itu susulan dakwaannya semalam bahawa Kementerian Kewangan pada 2013 meluluskan jumlah itu sebagai "geran derma" kepada sebuah persatuan kaum India yang mesra-BN.
"Ia adalah satu rahsia terbuka bahawa BN telah menggunakan dana awam untuk kempen sebelum ini.
"Tetapi ini kali pertama kami mempunyai bukti dokumentari kuat tentang bagaimana wang telah disalurkan daripada Kementerian Kewangan kepada pihak ketiga dan kemudian digunakan untuk membayar perbelanjaan pilihan raya BN," kata Rafizi pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Antara lain, Rafizi mendakwa, bayaran berkenaan telah dibuat oleh persatuan itu untuk pelbagai acara BN yang berlangsung antara 29 Mac 2013, dan 29 Mei 2013.
Pilihan raya umum ke-13 diadakan pada 5 Mei, 2013.
Sementara itu, dalam sidang media yang sama ahli parlimen Kapar G Manivannan berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Najib Razak dan dua pemegang jawatan dalam persatuan itu esok.
Dalam laporan polis itu, Rafizi berkata: "Apabila menteri kewangan yang diberi kuasa ke atas dana awam yang akan dipindahkan kepada pihak ketiga tetapi kemudian digunakan bagi manfaat kepada mereka (kerajaan atau pegawai awam), itu pecah amanah."
Beliau juga menegaskan bahawa persatuan itu juga bertanggungjawab untuk memastikan semua dana yang diterima, dibelanjakan dan digunakan mengikut piagamnya.
Malaysiakini tidak menyiarkan nama persatuan berasaskan kaum India itu sehingga mendapatkan maklum balas mereka.
Malaysiakini juga telah menghubungi Setiausaha BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor bagi mendapatkan komennya.

