Tangki lori gas nitrogen bocor di IPD PD
Tangki lori dengan muatan gas nitrogen yang diparkir di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bocor, pagi tadi.
Ketua Operasi dari Bomba dan Penyelamat Port Dickson Ghadafi Abd Manaf berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.10 pagi sebelum dua jentera dan 12 anggota termasuk Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) ke lokasi kejadian.
"Pemeriksaan kita dapati gas nitrogen itu bocor dan mengeluarkan asap putih di bawah tangki lori berkenaan... Tindakan kita adalah dengan menutup suis utama tangki bagi mengawal gas daripada keluar.
"Difahamkan lori itu diletakkan di kawasan parkir IPD Port Dickson bagi membantu siasatan berhubung kes kemalangan maut dengan sebuah motosikal.
"Selepas kemalangan, cecair muatan telah dikeluarkan bagaimanapun gas yang bocor mungkin merupakan sisa daripada muatan cecair sebelum ini," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata operasi mengawal kebocoran gas mengambil masa kira-kira satu jam.
- Bernama

