Menyamar doktor, warga emas didenda RM3,000
Seorang lelaki warga emas didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini selepas mengaku bersalah menipu dengan menyamar sebagai seorang doktor di sebuah klinik di sini sejak 2014 hingga awal tahun ini.
Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias memerintahkan P Jogindhar Sigh, 68, dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda itu.
Dia didakwa menipu dengan menyamar sebagai 'Doktor Ashok' yang menyebabkan pesakit terpedaya dan percaya dia seorang doktor di Klinik Theesan, Taman Universiti, Skudai di Johor Bahru antara 2014 hingga 18 Januari lepas.
Jogindhar Sigh, yang berasal dari Masai, dituduh mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah meringankan hukuman dengan alasan menanggung isteri dan dua anak serta menghidapi penyakit jantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
- Bernama

