Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) berpendapat Malaysia tidak memerlukan kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh kerana negara sudah mengalami lebihan tenaga kerja asing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya MTEM Mohd Nizam Mahsar berkata dalam keadaan sekarang Malaysia hanya memerlukan 1.72 juta pekerja asing.

Sedangkan, kata Mohd Nizam, jumlah tenaga kerja warganegara luar ketika ini berjumlah 3.1 juta berdasarkan data pada 2014.

"MTEM tak nampak keperluan 1.5 juta perkerja dari Bangladesh itu dibawa masuk kerana Malaysia hanya perlukan 1.72 juta tenaga kerja untuk memenuhi pasaran kerja 3D," katanya ( gambar ) di sidang media selepas mesyuarat agung keempat MTEM, di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kenyataan Khamis lepas, Kementerian Dalam Negeri menegaskan jumlah pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk ke negara ini tidak ditetapkan secara khusus kerana ia bergantung kepada keperluan dan permintaan majikan.

Menurut kementerian itu, pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk ke negara ini juga akan dibuat penilaian berdasarkan kelayakan mereka dan kemampuan majikan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.

Berlaku tekanan gaji

Kata kementerian itu, angka "1.5 juta pekerja Bangladesh" yang heboh diperkatakan dalam liputan media, sebenarnya adalah jumlah rakyat Bangladesh yang berdaftar dengan kerajaan negara berkenaan untuk mencari pekerjaan.

Sektor 3D itu pula merujuk kepada sektor pekerjaan dirty, difficult and dangerous (kotor, sukar dan berbahaya) yang tidak banyak diceburi penduduk tempatan.

Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata kemasukan pekerja asing sudah terlalu banyak hingga mengakibatkan persaingan dengan pekerja tempatan.

Malah, katanya, keadaan itu turut memberi kesan kepada jumlah pendapatan golongan berpendapatan rendah.

"Apabila jumlah pekerja asing terlalu banyak, kesannya ialah berlaku tekanan gaji khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

"Sekarang kita sudah ada tiga juta pekerja asing. Kita pelik, sekarang pekerja tempatan terpaksa bersaing dengan pekerja asing," katanya merujuk kepada kesediaan warga luar menerima gaji lebih rendah berbanding rakyat Malaysia.