Namakan majikan pekerja asing, kata Ambiga
Peguam terkemuka, Datuk Ambiga Sreenevasan mahu tahu ladang dan kilang manakah yang akan menggaji 1.5 juta pekerja Bangladesh yang akan dibawa masuk ke negara ini dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ini kerana beliau percaya bahawa mereka sebenarnya tidak mempunyai majikan untuk menggaji mereka.
"Jika saya salah, mereka perlu menamakan majikan berkenaan," katanya, memetik insiden sebelum ini di mana pekerja asing menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Sambil memuji rakyat Malaysia kerana bertanya soalan berkaitan isu itu setiap hari, Ambiga bagaimanapun mendapati ia aneh kerana menteri sumber manusia membisu berhubung perkara itu.
Bercakap dalam satu forum di Petaling Jaya malam tadi, Ambiga berkata menteri yang sepatutnya bercakap sesuatu mengenainya - menteri sumber manusia - tidak pun bersuara.
"Siapa yang banyak cakap - timbalan perdana menteri, menteri belia dan sukan dan menteri yang bertanggungjawab ke atas Parlimen. Apa kaitan mereka dengan orang-orang ini?" tanya Ambiga.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan bahawa 1.5 juta pekerja Bangladesh akan dibawa ke Malaysia, secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang, untuk memenuhi keperluan majikan dari pelbagai sektor.
Pekerja ini akan masuk Malaysia di bawah skim Plus G2G, yang membolehkan mereka bekerja dalam sektor pembinaan, perkhidmatan, pembuatan dan pertanian, selain sektor perladangan sedia ada dibuka kepada mereka.

