Wanita Pas tidak minta dicalonkan
Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) yang baru, Ustazah Fatimah Ibrahim berkata sebagai muslimah yang berindukkan ulama, pendapat mereka akan dihormati dan sekiranya ulama memberi ruang untuk wanita bergiat cergas sebagai anggota Muslimat, (biarlah) masa yang akan menentukan," ujar beliau.
Katanya lagi, Muslimat menyerahkan keputusan itu kepada Majlis Syura.
Beliau memberitahu sidang akhbar tengahari ini, di sidang media memperkenalkan Ketua DMPP yang baru dalam Muktamar PAS ke-47, di Markas Pas Pusat, Gombak.
Fatimah, isteri kepada Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Harun Taib menjelaskan wanita perlu memahami peranan mereka iaitu sebagai isteri, ibu dan anggota masyarakat.
"Menyertai dalam perjuangan Islam tidak timbul niat hendak menjadi wakil rakyat tetapi yang penting niat untuk menyelamatkan umat Islam," tegas beliau apabila ditanya sama ada Muslimat PAS bersedia untuk menjadi calon pilihanraya.
Beliau menafikan peranan Muslimat diketepikan sambil berkata ia diketengahkan sejak zaman Rasulullah sendiri.
Fatimah menjelaskan segala perancangan akan diteruskan bersama ahli jawatankuasa Muslimat yang dipilih semalam.
Ketua Dewan Muslimat Negeri Terengganu itu juga berkata gerak kerja Muslimat yang sedia ada iaitu Unit 'Amal Nisa Wal Banat (UANWB) akan diperkukuhkan bagi menghadapi persaingan Pergerakan Puteri Umno.
Sementara itu, wartawan malaysiakini sempat menemui Ketua Muslimat Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan yang mendedahkan tindakan Puteri Umno masuk ke kampus-kampus pengajian tinggi untuk menarik ramai keanggotaan. Beliau menyifatkan langkah ini sebagai bertentangan dengan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).
"Muslimat negeri Selangor akan masuk sama ke Institut Pengajian Tinggi," jelas beliau. Ia tidak menjadi halangan bagi PAS sekiranya pimpinan muda Umno itu boleh menjalankan kegiatannya di IPT.
Katanya, aktiviti Muslimat akan diteruskan ke akar umbi golongan muda bagi mengajak mereka ke arah perjuangan Islam.
Wan Hasrina juga menjelaskan wujud perkembangan positif dalam kepimpinan Muslimat yang baru yang menunjukkan sikap yang lebih terbuka.

