Tidak siapa pun mahu digelar "tahanan politik yang kedua di dunia paling lama terpenjara." Namun, gelaran yang diberikan itu membuktikan betapa perkasanya jiwa perjuangan Chia Thye Poh, seorang rakyat Singapura yang menjadi mangsa ISA selama 32 tahun.

Chia berbadan tinggi lampai, lembut suaranya serta lemah-lembut. Tidak sesiapa akan menganggap beliau seorang revolusioner yang lantang. Sifat ini sahaja menyebabkan pihak yang mengurungnya kelihatan bodoh, kecewa dan cemburu. Beliau seorang tokoh berprinsip dan bersemangat waja untuk mendukung kebenaran, keamanan, keadilan serta demokrasi.

Chia akhirnya dibebaskan pada 27 November 1998, setelah tiga dekad merengkuk secara kejam di penjara dan kemudian dikenakan sekatan bergerak. Beliau dipenjara lebih 22 tahun, selalunya dalam kurungan seorang diri. Tiga tahun berikutnya, beliau dibuang daerah ke Pulau Sentosa, Singapura.

Beliau satu-satunya penghuni pulau itu dan mendiami sebuah rumah pengawal, dengan satu bilik. Tahun-tahun selebihnya, beliau dibenarkan tinggal bersama ibu bapanya di Pulau Singa. Namun, beliau masih menjadi sasaran semua sekatan - kebebasan bersuara, berpersatuan dan bergerak.

Saya tertarik untuk melawat The Hague, Belanda apabila seorang sahabat lama memberitahu bahawa Chia berada di sana. Saya mengenali Chia ketika menuntut di Universiti Manchester, England.

Persatuan pelajar banyak mengajar saya tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) - senjata zalim serta tidak berhati perut yang digunakan pemerintah Singapura dan juga Malaysia untuk menutup mulut, mengongkong serta menghapuskan pengkritik kerajaan masing-masing. Dalam masa yang singkat, saya dibawa berkecimpung dalam kempen membebaskan semua tapol (tahanan politik), termasuk Chia, yang ditahan di bawah ISA di dua negara itu.

Kempen tersebut mendukung prinsip bahawa tidak sesiapa harus ditahan tanpa bicara, tanpa mengira kepercayaan politik, agama atau ideologinya. Setiap orang berhak dibicarakan dengan adil dan saksama. Saya berpegang pada prinsip ini.

Teman saya mempelawa Chia makan tengahari di rumahnya. Kami menjemputnya di Central Station. Itulah kali pertama saya bertemu Chia. Dia mudah didekati. Kami memperkenalkan diri dan mula bersembang di dalam kereta.

Sejak di universiti, Chia merindui sebuah masyarakat yang adil dan demokratik. Beliau mempelajari Fizik di Universiti Nanyang. Selepas tamat pelajaran, beliau bekerja buat seketika sebagai guru di sebuah sekolah menengah. Kemudian beliau bertugas sebagai tutor di universiti itu. Beliau bercita-cita melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana dalam bidang yang sama di seberang laut.

Kebebasan diragut ketika usia 25

Pada 1963, sebelum pilihan raya umum diadakan penghujung tahun itu, Lee Kuan Yew mengarahkan penangkapan beramai-ramai aktivis politik. Tujuannya, menghalang pemimpin parti pembangkang mengambil bahagian dalam pertandingan pilihanraya itu. Pada waktu itu, Chia tampil menawarkan diri untuk menggantikan salah seorang calon yang ditahan. Beliau menang dan dipilih sebagai anggota parlimen (MP) atas tiket Barisan Sosialis.

Chia ditahan pada 28 Oktober 1966 kerana membantah kerajaan PAP (Parti Tindakan Rakyat). Beliau bersama beberapa MP memboikot parlimen kerana isu pemisahan Singapura dari Malaysia pada 1965. Isu yang amat penting itu tidak pernah dibincang dalam parlimen. Bahkan rakyat Singapura tidak diberikan hak untuk menyuarakan pendapat atau memutuskan isu tersebut melalui pungutan suara.

Tambahan lagi, beliau juga antara pencinta keamanan yang melancarkan kempen menuntut diberhentikan pengeboman Amerika Syarikat di Indo-China. Oleh kerana kegiatan anti-PAP dan antiperang Chia itu, kerajaan Lee Kuan Yew(foto) dan PAP merampas secara zalim kebebasannya. Kedua-dua pihak itu telah lama tidak menghormati prinsip demokrasi serta hak-hak asasi manusia.

Selama hampir 20 tahun, tidak pernah pemerintah Singapura memberikan penjelasan mengenai penahanan Chia. Hanya pada 1985, barulah pemerintah Singapura menuduh beliau seorang anggota PKM (Parti Komunis Malaya). Pemerintah menawarkan pembebasannya dengan syarat beliau mengumumkan bahawa beliau "membantah cara perjuangan bersenjata PKM".

Chia menolak bulat-bulat tawaran itu. Beliau tidak mahu mengakui sesuatu yang tidak benar. Beliau menegaskan jika kerajaan mempunyai bukti yang kukuh, beliau patut dihadapkan di mahkamah yang terbuka dan adil.

Rejim kuku besi PAP mencuba sedaya-upaya untuk mematahkan semangat Chia serta memaksa pengakuan daripadanya. Sungguh pun beliau tidak pernah diseksa secara fizikal tetapi beliau diseksa dengan teruk secara mental dan psikologi.

Mula-mula kerajaan mengurungnya bersendirian dari sebuah bilik penjara ke satu bilik yang lain. Lebih dahsyat lagi, beliau dikurung di dalam "bilik gelap". Bilik itu serba gelap dan serba sunyi, membuatkan Chia tidak tahu siang atau malam. Beliau ditakut-takutkan bahawa seseorang yang dikurung di dalam bilik gelap boleh menjadi gila dalam tempoh beberapa hari sahaja.

Pada malam-malam awal pengurungannya, beliau mendengar seseorang di bilik sebelah menendang sekuat hati pintu lokap seolah-olah sudah sasau. Beliau disoal-siasat sepanjang hari di dalam bilik yang sangat sejuk dan dinafikan bahan bacaan bagi tempoh yang panjang.

Semangat pun menjadi waja

Untuk menguatkan semangat ketika itu, Chia selalu berdialog dengan diri sendiri. Chia memberitahu dirinya bahawa apa yang dilakukannya adalah betul dan berguna untuk rakyat. Andainya beliau membenarkan diri menjadi gila, hidupnya akan sia-sia sahaja. Beliau mengajar diri berfikir secara positif. Beliau senantiasa mengingatkan diri tentang mereka yang kurang bernasib baik dan tidak berkebolehan, yang hidup dalam keadaan lebih buruk lagi.

Sebuah sajak berbahasa Cina yang tertulis samar-samar pada dinding lokap oleh seorang tapol sebelumnya memberikan Chia galakan serta komitmen. Bunyinya begini:

Sepuluh tahun dalam penjara Tidak pernah terlalu lewat Ribuan keseksaan mewajakan semangatku

Apabila gagal mematahkan semangatnya, pihak berkuasa menekan bapanya yang sudah tua supaya memujuk Chia mengalah. Beliau tidak tunduk tetapi sebaliknya memarahi pegawai keselamatan yang cuba mengeksploitasi orang tuanya.

Kemudian, mereka cuba memujuknya dengan membawa beliau bersiar-siar di kota Singapura, menunjukkan kemewahan yang telah dicapai. Mereka menyuruh beliau menandatangani "kertas pengakuan" supaya beliau dapat mengecapi hidup mewah di Singapura. Jika enggan, diugut oleh agen kerajaan, beliau akan reput di penjara.

Masih, mereka tidak mampu mematahkan semangat beliau.

Sangat aneh semasa dibuang daerah di Pulau Sentosa sejak 1989, beliau dipaksa membayar sewa bagi sebuah rumah pengawal berbilik satu yang didiaminya, kononnya beliau kini sebagai seorang yang "bebas". Bahkan beliau dipaksa membeli makanan dan memasak sendiri. Oleh sebab tidak mempunyai wang, beliau ditawarkan bekerja sebagai penolong kurator Kubu Sentosa.

Beliau menolak tawaran tersebut kerana sebagai kakitangan awam gred dua, beliau dilarang bercakap kepada media massa tanpa kebenaran rasmi. Sebaliknya, beliau berjaya merundingkan jawatan sebagai penterjemah bebas dengan Syarikat Pembangunan Sentosa.

Bebas setelah usia 57

Pada 1997, Chia dibenarkan menerima biasiswa daripada kerajaan Jerman untuk tapol. Beliau mempelajari politik demokrasi dan bahasa Jerman di negeri itu selama setahun. Sungguhpun begitu, beliau masih ditegah daripada membuat kenyataan politik, menyampaikan ceramah, menyertai sebarang persatuan, mengambil bahagian dalam aktiviti politik atau berhubung dengan bekas tapol yang lain.

Selagi Chia disekat kebebasannya dengan tidak adil, selagi itulah kerajaan PAP akan terus dikecam masyarakat antarabangsa. Setelah gagal mematah semangat Chia, kerajaan republik itu terpaksa melonggarkan sekatan ke atasnya. Akhirnya, mereka tunduk kepada tuntutan antarabangsa supaya membebaskan Chia tanpa syarat.

Apabila sekatan dibatalkan, Chia mengeluarkan kenyataan akhbar mengutuk ISA dan menuntut ia dimansuhkan. Sebagai seorang mangsa ISA, beliau menyedari bagaimana akta itu boleh digunakan untuk memijak maruah manusia serta menimbulkan ketakutan orang ramai.

Bertentangan dengan kepercayaan sesetengah pihak mengenai nilai-nilai Asia, Chia berpendapat ISA tidak selaras dengan nilai-nilai tersebut. Apatah lagi, ISA adalah akta yang dicipta oleh penjajah Barat untuk menekan perjuangan menuntut kemerdekaan.

Chia juga memberitahu pegawai yang memaklumkan tentang pembebasan itu bahawa beliau masih berminat dalam politik. Sekiranya dalam tahanan semangat Chia tidak patah, ketika bebas beliau tidak mahu ditundukkan oleh kerajaan PAP yang berkuku besi itu.

Namun Chia telah membayar harga yang sangat tinggi kerana perjuangannya demi kebenaran, keadilan serta demokrasi. Ketika ditahan, umurnya baru 25. Apabila dibebaskan, Chia sudah mencapai 57 tahun. Kerajaan zalim itu telah merampas sebahagian besar masa terbaik dalam kehidupannya tanpa mengemukakan pertuduhan terhadapnya, apatah lagi membicarakannya di mahkamah.

Akibat ditahan, kesihatan beliau terjejas. Penglihatannya rosak sebab dipenjarakan di dalam bilik gelap bertahun-tahun. Masalah paru-parunya juga berpunca dari sana. Beliau pernah menjalani pembedahan prostat dan menghidapi pundi kencing yang lemah. Walau kesihatannya tidak baik dan ingatannya dihantui mimpi buruk, Chia masih berazam hendak membentuk semula kehidupannya. Kini beliau sedang mengikuti ijazah sarjana dalam Pengajian Pembangunan di Institut Kajian Sosial, Den Haag, Belanda.

Di The Hague, Chia dan saya bersembang sambil menikmati hidangan tengahari. Isteri teman itu menyediakan masakan India yang lazat. Chia dan saya menikmati hidangan lazat itu serta kemesraan tuan rumah. Saya perhatikan Chia sangat mesra dengan ketiga-tiga kanak temanku, terutamanya yang bongsu, yang berumur hampir 3 tahun, namanya Avinesh. Chia terlepas banyak perkara dalam kehidupannya.

Namun, beliau tidak menaruh dendam terhadap sesiapa, termasuk Lee Kuan Yew, meski mereka telah melakukan kezaliman ke atasnya. Chia menganggap perjuangannya bukan menentang individu, tetapi terhadap dasar-dasar serta sistem yang tidak adil.

'Satu hari, kita sampai jua ke sana'

"Ini bukannya perlawanan peribadi. Perjuangan untuk demokrasi lebih daripada perjuangan peribadi. Saya tidak berasa marah terhadap sesiapa pun. Demokrasi bukannya mengenai kekerasan. Mereka boleh memenjara saya, tapi bagaimana mereka mahu mengurung demokrasi? Satu hari nanti, saya akan sampai ke sana - kita semua akan sampai ke sana."

Tanpa menyesali perjuangannya, Chia mengisytiharkan beliau tidak akan memilih jalan lain jika beliau terpaksa mengulangi hidupnya. Di dalam lubuk hatinya, beliau sedar bahawa beliau tidak boleh mengkhianati prinsipnya. Beliau lebih rela mengorbankan nyawanya secara terhormat demi perjuangan yang adil itu daripada membuat pengakuan yang palsu.

Dalam keasyikan mengejar kekayaan, rejim PAP telah berjaya menundukkan kebanyakan rakyat Singapura sehingga tidak menghargai demokrasi dan hak asasi manusia. Kini tidak ramai warga Singapura mengambil kisah apa yang berlaku terhadap Chia. Warga muda pun hampir semua tidak mengenali beliau dan yang mengenalinya pula tidak berminat atau terlalu takut menyebutnya.

Namun begitu, Chia masih diingati dan dihormati ramai di luar republik itu, sebagai teladan yang unggul dalam perjuangan untuk keadilan dan demokrasi di Asia Tenggara. Beliau seorang tokoh bersahaja yang rendah hati, tetapi mempunyai jiwa yang besar. Sesiapa yang mengidamkan refomasi akan menjejaki semangatnya. Ahli sains politik Andrew Aeria menyifatkan Chia dengan tepat sebagai "simbol yang menyinari perjuangan hak asasi manusia dan demokrasi".


ANG HIOK GAI adalah Timbalan Setiausaha Agung, Parti Rakyat Malaysia. Artikel ini ditulis untuk memperingati bulan hak asasi manusia pada November 2000. Ia disediakan dalam Bahasa Malaysia, Cina dan Inggeris.