Penghujung tahun 2004, hujan lebat menyebabkan beberapa negeri di Pantai Timur banjir. Apabila berlaku banjir, banyak masalah yang dihadapi oleh penduduk, termasuk kehilangan nyawa. Pada awal tahun 2005 pula menyaksikan cuaca panas mengambil alih keadaan iklim semasa.

Ya, sekarang musin angin mula terasa! Saya dapati angin bertiup agak kencang dan taburan hujan semakin kurang, terutamanya di Negeri Sembilan, Selangor dan Melaka. Dan beberapa taman perumahan di Seremban mengalami gangguan bekalan air, terutamanya di Seremban 2.

Di Sikamat dan Termiang pula, bekalan air turut terputus melebihi empat jam. Saya yang tinggal di Sikamat putus bekalan air pada Jan 17 Januari, mulai jam 6 petang hingga tengah malam. Bekalan air yang terputus mengganggu kerja rumah bagi golongan seperti kami.

Alhamdulillah kami hanya tiga beranak. Air tangki cukup untuk memenuhi bekalan semasa. Cuba bayangkan jika anggota keluarga melebihi lima orang. Cukupkah bekalan air?

Di tempat kerja pula, ramai yang kecoh mengatakan keadaan panas ini akan berterusan hingga selama tiga bulan. Suasana dalam pejabat pun semakin panas menjelang jam 2 hingga 5 petang. Ada yang mengatakan empangan Sungai Terip telah susut sedikit. Kemungkinan besar sekiranya cuaca panas ini berterusan, kekurangan bekalan air akan berlaku.

Bersediakah kita dengan keadaan ini? Berjimatkah kita dengan penggunaan air selama ini? Rata-rata segelintir rakyat Malaysia masih lagi suka membazirkan air. Apa tidaknya. Ada yang melihat sahaja paip-paip di jalanan bocor tanpa melaporkan kepada jabatan yang meyelenggarkan.

Ada yang sengaja membiarkan air singki di tandas-tandas awam terbuka tanpa menutupnya. Ada yang mengambil masa berjam-jam lamanya untuk mandi. Ada yang suka sangat membazir air dengan mencuci kereta setiap hari. Pelbagai ragam yang disaksikan. Itulah realitinya kita rakyat Malaysia yang masih belum prihatin dengan penjimatan sumber tenaga, lebih-lebih lagi sumber air.

Apabila di landa masalah, barulah masing-masing mula mengeluh. Yang nyata persiapan awal tidak di lakukan untuk menghadapi kemungkinan yang berlaku akibat kekurangan bekalan air. Peranan ini perlu di jalankan oleh semua pihak. Individu mahupun penduduk di sesuatu kawasan perlu bersedia dan cuba menjadi pengguna yang berjimat.

Merujuk kepada peranan media pula, mana-mana isu gangguan mahupun terputus bekalan air perlu dihebahkan secepat mungkin kepada penduduk di kawasan yang mungkin terbabit. Saluran media elektronik perlu digunakan supaya penduduk akan lebih bersiap sedia terutamanya menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Korban dan Tahun Baru Cina yang tidak berapa lama lagi.

Sekiranya langkah awal dapat di ambil oleh pihak pengurusan air, adalah di harapkan penduduk setempat akan memberi kerjasama untuk bersedia dan berjimat cermat dalam penggunaan air. Pengusaha gerai makanan juga mesti memastikan makanan betul-betul di basuh bersih sebelum memasaknya.

Pengurusan air yang efektif amat penting bagi memastikan musim panas yang mungkin melanda tidak akan menjejaskan aktiviti harian rakyat. Kita takut akan timbul pula masalah lain seperti masalah kesihatan dan wabak penyakit akibat ketidak prihatinan kita dalam menjaga kebersihan.