Kedua-dua pemimpin kanan PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah enggan melayan desakan bekas naib presiden parti itu, Datuk Husam Musa supaya meletakkan jawatan kerana gagal membawa membentangkan usul pindaan Akta 355 di parlimen.

Mohd Amar yang kini menjadi Naib Presiden PAS berkata, langkah membawa usul tersebut di parlimen bukanlah isu sebaliknya tanggungjawab.

“Kita akan bawa usul ke parlimen, gagal (atau) tidak gagal selepas itu, bukan tanggungjawab.

“Saya juga boleh tanya dia (Husam) balik, dia juga pernah gagal membabitkan beberapa perkara, kenapa tidak letak jawatan?” beliau dilaporkan berkata oleh Sinar Harian .

Selain itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan menjawab tuduhan Husam ( gambar ) yang mendakwa matlamat parti berkenaan untuk melaksanakan hudud di Kelantan sebagai mainan politik.

Kata Mohd Amar, beliau menyifatkan hujah Adun Salor berkenaan adalah tidak berasas.

Katanya, Husam sepatutnya sedar bahawa matlamat PAS untuk melaksanakan hukum hudud bukan mainan politik sebaliknya menjadi perjuangan parti itu sejak dulu lagi.

Sementara itu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS berkata beliau tidak bertanggungjawab untuk menjelaskan kepada Husam mengenai enakmen berkenaan.

Sebaliknya Takiyuddin menegaskan beliau hanya menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya.

Jelas Takiyuddin lagi, Husam tidak tahu banyak perkara dalam pentadbiran kerajaan Kelantan dan banyak perkara tidak perlu diberitahu kepadanya.

"Pihak kami tiada tanggungjawab memberikan penjelasan kepada Husam. Bagi saya, tanggungjawab saya melakukan kerja diamanahkan. Saya tidak bertanggungjawab kepada dia,” beliau dilaporkan sebagai berkata.