Dasar Islam PAS terus dimomokkan: Fadzil Noor
Presiden Parti Islam Se-Malaysia (Pas), Datuk Fadzil Noor hari ini menegaskan seluruh jamaah parti perlu mempertingkat usaha bagi menghadapi cabaran semasa ekoran dasar Islam PAS yang terus-menerus "diserang dan dimomok-momokkan".
Katanya, pihak lawan telah mengatur strategi untuk melumpuhkan PAS, bermula dengan strategi politik sehinggalah kepada strategi agama.
Katanya, pihak lawan telah mengatur strategi untuk melumpuhkan PAS, bermula dengan strategi politik sehinggalah kepada strategi agama.
"Mereka berharap dengan cara demikian akan dapat mencetuskan keraguan di kalangan ahli dan penyokong terhadap dasar dan perjuangan PAS," kata Fadzil.
Fadzil menyeru kepimpinan ulama supaya mampu berdepan dengan masalah ummah dan negara terutama yang menyentuh soal hukum.
Beliau berucap pada ucapan dasar Muktamar PAS ke-47 yang dihadiri kira-kira seribu perwakilan termasuk beberapa pemerhati asing dan pemimpin parti Barisan Alternatif padi tadi.
Antara yang hadir ialah Presiden Parti Keadilan Nasional Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden Dr Chandra Muzaffar; Presiden Parti Rakyat Malaysia Dr Syed Husin Ali dan Naib Pengerusi Dr Sanusi Osman; serta Penasihat DAP Chen Man Hin dan Naib Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw.
Dalam ucapan satu jam setengah itu, beliau turut menyingkap sejarah perjuangan PAS yang ditubuhkan oleh golongan ulama yang kini berjumlah hampir satu juta ahli di seluruh negara.
PAS akan menyambut perayaan Jubli Emas bermula 23 Ogos di Kota Bharu.
Kepimpinan ulama
Pemimpin PAS itu menyebut rahsia ketahanan parti itu kerana perjuangan Islam berlandaskan Al-Quran, As-Sunnah, Ijmak dan Qiyas, mendukung kepimpinan ulama dari dulu dan sekarang serta mempunyai penyokong yang setia, kasih, berdiri teguh bersama ulama.
"Kita tidak sekejap sekular, sekejap Islam dan sekejap 'non-Islam' atau galak dengan komunis apabila melihat Amerika kalah di Vietnam, Laos dan Kampuchea.
Fadzil berkata sejak lahirnya PAS, mereka mengenali Umno dan kerana itu "sekejap-sekejap saja ia jadi kawan".
"Jika PAS menyuarakan sedikit permintaan sebelum diadakan pertemuan PAS-Umno yang diwarwarkan sebulan dua ini, adalah disebabkan PAS kenal sangat dengan Umno," ulas beliau terhadap cadangan pertemuan perpaduan Melayu itu.
Katanya berkawan bukan sekadar berpolitik, tetapi berkawan di setiap aspek supaya terbentuk sebuah bangsa Malaysia yang unggul bertamadun, merdeka, sejahtera, bebas daripada perkauman dan rasuah.
"Kita ingin memberi amaran agar jangan mana-mana pihak yang cuba mengapi-apikan isu agama dan perkauman," tegas Fadzil merujuk kepada tuduhan ''PAS pemecah-belah'', ''PAS anti Melayu'' serta ''kalau PAS memerintah semua patung-patung anutan kaum Cina akan dimusnahkan''. Beliau menegaskan PAS tetap bersifat toleransi terhadap agama dan budaya pelbagai kaum seperti yang ditunjukkan di Kelantan dan Terengganu.
Beliau sempat menyentuh isu kegawatan ekonomi di mana rakyat menyaksikan pelbagai pelan induk bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Bagaimanapun, katanya, indeks komposit menjunam, jumlah dagangan menurun, pasaran modal menguncup dan rizab luar negara berkurangan.
Selain itu, Fadzil turut mengutuk tindakan kejam rejim zionis ke atas bumi Palestin dan kuasa-kuasa besar khususnya Amerika Syarikat dalam menangani masalah rakyat Palestin.
"Yang lebih malang lagi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) langsung tidak bermaya bagi membela kepentingan umat Islam," ujar beliau.

