Hari ini mungkin penentu nasib Van Gaal
Hari ini bakal menjadi menentu nasib Pengurus Manchester United (MU), Louis Van Gaal sama ada akan meneruskan karier di Old Trafford atau sebaliknya.
Selepas skuad The Red Devils tewas 0-1 kepada Southampton Sabtu lalu, The Guardian melaporkan jurulatih dari Belanda itu menawarkan untuk mengundurkan diri.
Ketika ditentang Southampton di Old Trafford itu, Van Gaal dicemuh penyokong, malah beliau sendiri mengakui gagal memenuhi harapan penyokong.
"Saya sangat kecewa kerana tidak dapat menunaikan harapan penyokong. mereka memiliki harapan besar, tetapi saya gagal memenuhinya. Saya amat kecewa," kata bekas jurulatih kebangsaan Belanda itu.
"Anda perlu bermain bola sepak untuk menghiburkan peminatnya. Saya fikir kami tidak menghiburkan penyokong sehingga mereka marah," tambahnya.
Reaksi penyokong MU kini adalah untuk melihat Van Gaal berundur, namun bagi Naib Pengerusi MU, Ed Woodward beliau meminta supaya jurulatih itu tidak terburu-buru.
Van Gaal masih diberi masa oleh pihak pengurusan untuk berbincang dengan keluarganya.
Ahad lalu, The Mirror melaporkan Van Gaal kelihatan di bandar Manchester dengan membawa bagasi untuk berlepas ke Belanda.
Difahamkan, kepulangannya ke tanah air itu adalah untuk menyambut hari kelahiran anaknya sekali gus berbincang dengan keluarga mengenai masa depan beliau.
Bagaimanapun, Van Gaal akan kembali bersama skuad bimbingannya hari ini untuk latihan menjelang perlawanan seterusnya di samping bertemu Woodward.
Wakil pengurusan tertinggi MU itu mungkin akan meminta Van Gaal bertahan, lebih-lebih lagi beliau tokoh yang paling berperanan membawa Van Gaal ke Old Trafford.
MU juga mungkin enggan mengambil risiko dengan melepaskan jurulatih itu ketika musim masih berbaki empat bulan. Mereka mungkin akan menunggu sampai akhir musim sebelum menggantikan Van Gaal.
Selain itu, Jose Mourinho yang dipecat Chelsea Disember lalu antara nama yang disebut menggantikan kerusi Van Gaal. Bagaimanapun, MU masih berharap untuk membawa Josep Guardiola selepas kontrak jurulatih Bayern Munichn itu tamat Jun nanti.
Ryan Giggs juga salah seorang yang calon, tetapi penolong jurulatih MU itu mungkin hanya mengambil alih sementara selepas Van Gaal di pecat seperti mana ketika David Moyes dipecat pada 2014.

