Mulder, Scully ajak penonton kembali 'percaya'
'Hilang' dari radar televisyen selama hampir 14 tahun (atau 23 tahun sejak ia mula disiarkan), siri kegemaran ramai The X-Files kembali ditayangkan melalui saluran Fox pada Ahad ini.
Di AS ia disiarkan sejurus selepas kejohanan bola sepak Amerika yang ditonton puluhan juta orang.
Siri terbaru The X-Files itu tetap menampilkan gandingan watak utama sama, iaitu David Duchovny dan Gillian Anderson.
Penganalisis di AS berkata, The X-Files terbaru itu menampilkan cerita serius - dan mengarut sekali gus - enam episod pertama siri berkenaan didakwa mempunyai banyak persamaan dengan produksi lama.
Dan jika anda "mahu percaya" The X-Files ini memang akan menghiburkan.
Ungkapan "percaya" itu adalah salah satu identiti siri berkenaan yang sering disebuf watak Fox Mulder (lakonan Duchovny).
FOUR MORE DAYS!
Posted by The X-Files on Wednesday, January 20, 2016
Selain gandingan Mulder dan Dana Scully (Gillian), banyak lagi watak lama ditampilkan dalam musim baru ini, seperti Walter Skinner (lakonan Mitch Pileggi), Smoking Man (William B Davis) dan kumpulan pengkaji teori konspirasi The Lone Gunmen.
The X-Files kali ini mendapat sentuhan arahan daripada Chris Carter - individu yang bertanggungjawab mencetuskan idea dan cerita berkenaan pada awal 1990-an.
Serasi dalam kompleks
Dengan peredaran zaman, penerbit tetap tidak melupakan pembaharuan beberapa segi. Justeru, ada banyak juga watak baru ditampilkan.
Beberapa pendedahan juga dibuat. Kali ini penonton diberikan jawapan kepada beberapa persoalan yang disiasat Mulder dan Scully sedekad lalu.
Namun paling ketara ditampilkan kali ini ialah keserasian yang wujud antara dua ejen FBI itu - Mulder dan Scully - serta hubungan istimewa mereka yang kompleks.
Menceritakan dirinya, Gillian berkata, suatu ketika dulu dia beranggapan apa yang sudah dilakukannya untuk watak Scully adalah memadai.
Tidak dikenali ramai - dan baru berusia 24 tahun - ketika mula muncul di televisyen membawa watak ejen FBI itu, selama beberapa lama Gillian bimbang The X-Files akan 'memusnahkan' kerjayanya sebagai pelakon.
Selepas siri itu berakhir Gillian berpindah ke England dan berlakon dalam penerbitan BBC.
Hanya beberapa tahun lalu keghairahannya terhadap The X-Files muncul semula.
"Kali ini ia mencabar. Saya perlu buktikan - kepada diri sendiri dan orang lain - bahawa saya memang mampu melakukannya," kata Gillian.
Duchovny pula berpendapat The X-Files menyumbang dengan cara tersendiri kepada perkembangan rancangan televisyen.
"Tanpa The X-Files anda tidak akan dapat melihat siri seperti Lost, Heroes atau Bones ," katanya.
Kali ini selain menyiasat mengenai makhluk asing, The X- Files juga membawa penonton kepada penggunaan peranti berteknologi tinggi, konspirasi kerajaan dan pakatan bawah tanah.

