David Bowie tewas kepada kanser
Selepas bergelut dengan penyakit kanser selama 18 bulan, penyanyi David Bowie meninggal dunia hari ini - hanya dua hari selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-69.
Sepanjang tempoh 40 tahun menjadi artis, Bowie terkenal sebagai penyanyi dengan rock, soul, hard rock, punk dan electronica.
Dia baru saja melancarkan album ke-25 berjudul Blackstar sempena hari kelahirannya pada 8 Januari.
Melalui kenyataan dikemas kini pada akaun media sosialnya, wakil Bowie menyatakan penyanyi tersebut meninggal di kelilingi ahli keluarganya.
Nama Bowie mula menjadi popular melalui album The Rise and Fall of Ziggy Stardust and the Spiders from Mars yang diterbitkan pada 1972.
Melalui album itu peminat muzik dihiburkan oleh bintang rock yang menyerupai 'makhluk asing'.
Tiga tahun kemudian Bowie mencatat kejayaan besar pertamanya di AS melalui single Fame sebelum sekali lagi mencuri tumpuan ramai melalui album Station to Station.
Lagu tentang angkasawan
Antara lagu popularnya dan dikenang ramai ialah Let's Dance (1983), Space Oddity, Modern Love, Rebel, Rebel, Life on Mars dan Suffragette City.
Pergaduhan di sekolah ketika zaman remaja menyebabkan Bowie memiliki sepasang mata yang berbeza warna.
Selain menyanyi Bowie juga pernah berlakon - sebagai makhluk asing yang mencari bantuan bagi menyelamatkan planetnya yang diancam - dalam filem The Man Who Fell to Earth (1976).
Dia juga membintangi filem terakhir Marlene Dietrich, Just a Gigolo pada 1978.
Sebagai artis yang berminat kepada perkembangan teknologi, Bowie menjadi bintang rock pertama menggunakan kemudahan pembekal perkhidmatan internet (ISP) melalui pembukaan BowieNet pada September 1998.
January 10 2016 - David Bowie died peacefully today surrounded by his family after a courageous 18 month battle... https://t.co/ENRSiT43Zy
— David Bowie Official (@DavidBowieReal) January 11, 2016
Lahir di London pada 8 Januari 1947, nama asal Bowie ialah David Jones sebelum menukarnya menjadi seperti dia dikenali ramai mulai 1966.
Tiga tahun kemudian Bowie menghasilkan album Man of Words/Man of Music memuatkan lagu Space Oddity yang bercerita mengenai seorang angkasawan dikenali sebagai Major Tom.
Pada Januari 1972 dalam temubual dengan sebuah majalah, Bowie secara terbuka mengakui dia seorang gay, menukar warna rambutnya menjadi perang dan berpakaian seperti wanita.
Bagaimanapun sesetengah pihak menganggap kenyataan itu mungkin sekadar mahu menarik perhatian ramai kerana selepas itu jualan albumnya meningkat dengan ketara.
Dia bagaimanapun menukar aliran muziknya kepada genre funk pada 1975.

