Kerajaan Terenganu terpaksa membayar balik kira-kira RM60 juta cukai pintu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri itu kerana ia tidak dipungut semasa pemerintahan PAS dahulu.

Kerajaan negeri akan membuat pembayaran tersebut dalam sedikit masa lagi, kata Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafie selepas menghadiri taklimat mengenai cukai pintu anjuran kerajaan negeri hari ini.

Taklimat anjuran kerajaan negeri itu telah disampaikan oleh Exco Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ahmad Said dan wakil Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT), yang dihadiri oleh 100 pemimpin Umno dari seluruh negeri.

Semasa PAS memerintah selama empat tahun mulai 1999, kerajaan negeri tidak mengutip cukai pintu daripada rakyat sebagai memenuhi janji pilihanrayanya.

Bagaimanapun, Akta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewajibkan PBT mengenakan cukai pintu kepada rumah kediaman dan premis perniagaan di kawasan masing-masing.

Sebelum ini, kerajaan negeri pimpinan Umno, telah mengadakan perjumpaan dan memberi taklimat kepada pegawai tinggi kerajaan dan pemimpin peringkat kampung mengenai keputusan untuk mengenakan semula cukai pintu di negeri tersebut.

Tiada bantahan

"Mulai tahun ini, cukai pintu akan diadakan semula di Terengganu. Ini adalah janji Umno semasa pilihanraya umum 2004 kerana wang tersebut adalah untuk kerja-kerja pembiayaan di dalam kawasan pihak berkuasa tempatan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri memberi jaminan cukai pintu yang akan dikenakan kepada rakyat tidak akan membebankan mereka," katanya lagi.

Golongan miskin bagaimanapun akan dikecualikan daripada membayar cukai pintu tersebut.

Kerajaan negeri, tambahnya, akan membenarkan rakyat membayar cukai pintu secara ansuran bagi meringankan beban mereka.

Katanya, maklum balas dari rakyat setakat ini menunjukkan mereka tidak membantah langkah kerajaan negeri mengenakan semula cukai pintu tersebut kerana mereka faham mengenai perkara itu.