AMK kritik penahanan Aduka Taruna
Seorang pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) mengecam kerajaan atas penahanan reman tiga hari Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Khairul Nizam Abd Ghani, hanya untuk menyiasat satu kenyataan dalam Facebook.
"Kerajaan Malaysia - sama ada keliru atau sengaja - mahu menafikan hak rakyat daripada bersuara sehingga aktivis yang bersuara dilayan seperti penjenayah.
"Ditangkap di rumah, dipisahkan daripada keluarga, malah polis memohon perintah reman sehingga tiga hari hanya untuk menyiasat status-status yang ditulis di dinding media sosial, seolah-olah ada pasukan khusus ditugaskan membaca setiap tulisan aktivis ini di media sosial setiap saat dan waktu," kata Setiausaha Pengelola AMK, Ahmad Syukri Ab Razab dalam kenyataannya hari ini.
Khairul Nizam atau dikenali di dunia maya sebagai Aduka Taruna ditahan mengikut Akta Hasutan di rumahnya di Kelantan pada Jumaat.
Ia adalah tangkapan kedua dihadapi Khairul Nizam berhubung tulisannya di Facebook.
Kali pertama dia ditahan polis pada Jun lalu.
Dalam status dimuat naiknya di Facebook Khairul Nizam didakwa mengecam penggunaan berterusan Akta Hasutan untuk menahan pengkritik kerajaan.

