MB anggap isu kerusi PBT S'gor selesai
Datuk Seri Azmin Ali berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi di Selangor telah selesai dan mencapai kata sepakat dengan semua pihak termasuk parti Amanah Negara (AMANAH).
Menteri besar Selangor itu berkata, dalam perbincangan yang berjalan baik dan lancar, pembahagian kerusi ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah pun diteliti.
"Saya gembira semua pihak dan semua parti telah menerima formula yang telah diputuskan," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan kerja ke ke Kampung Bukit Lanchong pagi ini.
AMANAH diperuntukkan lapan kerusi PBT pada hari Rabu.
Parti serpihan PAS itu meminta 24 daripada 288 kerusi di semua PBT di Selangor.
Walaupun Pakatan Harapan dibentuk antara PKR dan DAP, PAS masih – yang kini bersendirian di peringkat pusat – masih menjadi sebahagian kerajaan di negeri itu.
Amaran rampas tanah
Sementara itu, Azmin berkata kerajaan negeri Selangor akan merampas lot tanah persendirian yang dijalan “aktiviti haram” atasnya.
"Saya kesal aktiviti pembuangan sampah haram termasuk sampah industri dan domestik yang berleluasa hingga mengakibatkan pencemaran sungai serta sistem perparitan sedia ada juga aktiviti menambak sungai oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Oleh itu, saya mengambil keputusan bersama pegawai daerah dan PBT untuk memulakan proses merampas tanah pihak yang membenarkan aktiviti haram ini selama beberapa tahun. Proses ini akan dimulakan serta merta oleh Pejabat Daerah dan Tanah Petaling," tegas Azmin.
Malah, Azmin juga turut mencadangkan satu jawatankuasa peringkat tertinggi negeri diwujudkan segera bagi menangani isu tersebut.
Azmin mengadakan lawatan kerja ke Kampung Bukit Lanchong dan Kampung Seri Aman, Puchong bermula seawal jam 8.00 pagi tadi selepas menerima aduan seperti masalah banjir, sistem perparitan yang perlu dinaik taraf dan isu kilang haram.
Lawatan kerja Azmin pagi tadi melibatkan lebih 10 kawasan dan diakhiri dengan solat Jumaat serta jamuan rakyat di Masjid Al- Istiqamah, Kampung Seri Andalas, Puchong.

