Kerajaan Barisan Nasional (BN) Terengganu akan meneruskan saman bagi mendapatkan semula royalti minyak dari Petronas dan Kerajaan Pusat, kata Setiausaha Perhubungan Umno negeri, Rosol Wahid.

Beliau berkata, kerajaan negeri mahu mendapat bayaran dalam bentuk royalti dan bukannya melalui Dana Khas Persekutuan seperti yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat sekarang.

Saman tersebut bagi membolehkan Kerajaan Terengganu mendapat semula royalti minyak sebanyak 5 peratus daripada Petronas seperti yang terkandung dalam perjanjian antara kedua-dua pihak pada tahun 1974.

"Kita sedang menunggu perbicaraan mengenai perkara tersebut yang dijangkakan bila-bila masa sekarang," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini hari ini.

Semasa pemerintahan PAS dari tahun 1999 hingga awal 2004, kerajaan menukar wang royalti minyak kepada wang ihsan dan disalurkan melalui Umno Terengganu.
Bagaimanapun, buat masa ini Kerajaan Pusat menyalurkan sumber kewangan kepada Terengganu melalui Dana Khas Persekutuan berdasarkan jumlah projek yang dilaksanakan di negeri tersebut.

"Kerajaan negeri mahukan bayaran dalam bentuk royalti seperti yang diberikan oleh Kerajaan Pusat semasa Terengganu di bawah pemerintahan BN ketika Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad menjadi Menteri Besar.

Bayaran dihentikan

"Wang dalam tangan sendiri lebih mudah untuk kita membuat projek kepada rakyat. Skim sekarang ialah kita memohon dari Kerajaan Pusat untuk mendapat wang yang dibayar setelah kita membuat projek tertentu.

"Tetapi kita perlukan wang sendiri kerana percaya dengan cara begitu, kerajaan negeri mempunyai sumber kewangannya sendiri setiap tahun," tambahnya.

Petronas dan Kerajaan Pusat menghentikan bayaran royalti minyak kepada kerajaan PAS Terengganu pada 1999 kerana mendakwa kerajaan negeri tidak berhak mendapat wang daripada hasil minyak tersebut.

Berikutan itu PAS memfailkan saman terhadap Petronas dan Kerajaan Pusat bagi mendapatkan semula royalti minyak tersebut.

Ini kerana pemimpin PAS menyifatkan pemberhentian royalti minyak tersebut bermotifkan politik kerana BN marah mereka kalah di Terengganu dalam pilihanraya umum 1999.

Kerajaan Pusat sebaliknya menyalurkan royalti kepada Umno Terengganu melalui Dana Khas Persekutuan untuk membiayai projek pembangunan di negeri tersebut. Pembiayaan Dana Khas Persekutuan adalah berdasarkan projek yang dibuat di Terengganu.

Rosol yang juga Exco Kerajaan Terengganu berkata, kerajaan negeri mendapat kira-kira RM500 juta setahun daripada Dana Khas Persekutuan untuk melaksanakan pelbagai projek di seluruh negeri itu.

Pembayaran royalti minyak untuk Terengganu adalah dalam lingkungan RM500 juta hingga RM700 juta setahun, bergantung kepada harga minyak di pasaran dunia.

Pada tahun 1999, Petronas membayar kira-kira RM700 juta kepada Kerajaan BN Terengganu dalam bentuk royalti minyak sebelum dihentikan pada tahun berikutnya apabila kerajaan negeri jatuh ke tangan PAS.

Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh dalam satu kenyataan sebaik BN merampas Terengganu berkata, Kerajaan Pusat setuju meneruskan Dana Khas Persekutuan tersebut untuk kepentingan rakyat Terengganu.