ISA: 2 dibebaskan, dilarang tangkap semula 24 jam
Dua pemimpin Pemuda Parti Keadilan Nasional yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 50 hari dibebaskan petang tadi.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Hishamudin Mohd Yunus juga melarang polis menangkap semula N Gobalakrishnan dan Abdul Ghani Haroon sekurang-kurangnya dalam tempoh 24 jam mulai petang ini.
Gobalakrishnan dan Abdul Ghani masing-masing telah ditahan 50 dan 49 hari.
Gobalakrishnan memberitahu malaysiakini, beliau "dilayan dengan buruk" dalam tahanan. Bagaimanapun kedua-dua tahanan tidak mengeluarkan kenyataan selepas dikawal ketat oleh penyokong parti itu.
Dua aktivis Pemuda itu kemudiannya dibawa ke rumah Presiden Keadilan Dr Wan Azizah Wan Ismail di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Kira-kira 250 orang penyokong berada di kawasan kompleks mahkamah. Mereka melaungkan slogan "reformasi" dan bertakbir.
Sementara di luar bangunan mahkamah, polis mengadakan kawalan ketat. Berpuluh-puluh anggota polis daripada Pasukan Gerak Am (PGA) berbaris di sepanjang jalan ke bangunan itu dan juga membuat sekatan jalan raya.
Pagi tadi, hakim mengarahkan polis membawa dua aktivis Pemuda itu di mahkamah pada jam 3.30 petang untuk dibebaskan.
Hakim berkata, penahanan mereka berdua tidak mengikut undang-undang kerana pegawai polis gagal memberikan sebab yang jelas tangkapan itu dan akuan bersumpah responden (polis) untuk mencabar permohonan habeas corpus dua orang itu samar-samar.
Dua, daripada 10 tahanan, menfailkan permohonan ini pada 14 April lalu selepas Gobalakrishan ditangkap di Langkawi, Kedah dan Abdul Ghani ditahan di Kuching, Sarawak beberapa hari sebelumnya.
Permohonan habeas corpus lima lagi tahanan ISA ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 25 April lalu. Mereka adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, Ketua Pemudanya Mohamad Ezam Mohd Nor, anggota jawatankuasa pusat parti itu Saari Sungib, penulis malaysiakini Hishamuddin Rais dan pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin.
Kelima-lima itu ditahan pada 10 dan 11 April di Kuala Lumpur dan Selangor.
Sementara permohonan tiga lagi aktivis yang ditahan antara 20 dan 26 April lalu akan didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam 14 Jun depan.
Permohonan itu dibuat oleh keluarga-keluarga aktivis Pemuda Keadilan Dr Badrul Amin Bahron, Lokman Noor Adam dan aktivis hak asasi Badaruddin Ismail.

