Hakim bebaskan Chang, Khairuddin dipindahkan
Kurang dua bulan selepas membenarkan ikat jamin untuk peguam Matthias Chang dan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, berikutan pertuduhan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Hakim Azman bersama-sama dengan 12 hakim dan pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi dipindahkan berkuat kuasa 1 Januari lalu berikutan pekeliling bertarikh 7 Disember yang dipersetujui oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria.
Haniff Khatri Abdulla yang adalah peguam utama dalam kes itu dan mewakili Khairuddin memberitahu Malaysiakini bahawa Hakim Azman adalah antara hakim-hakim kanan yang dipindahkan.
"Saya rasa pelik seorang hakim kanan seperti Hakim Azman tiba-tiba dipindahkan ke Shah Alam sedangkan Mahkamah Kuala Lumpur adalah tempat utama bagi hakim-hakim kanan," katanya.
Pada 18 November, tahun lalu, Hakim Azman memutuskan bahawa pertuduhan terhadap Chang, bekas setiausaha politik kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Khairuddin yang didakwa mensabotaj perkhidmatan kewangan negara bukan di bawah di Sosma.
Katanya, ia tidak termasuk dalam bidang kuasa Perkara 149 ( 1) Perlembagaan Persekutuan manakala undang-undang Sosma digubal oleh Parlimen.
Hakim Azman dengan itu memutuskan bahawa kedua-dua mereka akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen dan bukan di Mahkamah Tinggi. Walau bagaimanapun, perkara dibawa untuk rayuan di Mahkamah Rayuan.
Justeru, Haniff berkata, kes Khairuddin dan Chang yang dijadualkan untuk sebutan semula pada Selasa (12 Januari) akan didengar oleh hakim lain iatu Datuk Azman Abdullah yang dipindahkan dari Kota Baru ke Kuala Lumpur.
Hakim Azman adalah hakim yang menolak saman parti Gerakan untuk memohon pengisytiharan membatalkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud yang didakwa bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman bersalah ke atas bekas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh dan mendendanya RM4,000 kerana mengeluarkan kenyataan menghasut terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah berhubung pengguguran Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar.
Hakim-hakim atau Pesuruhjaya Kehakiman lain yang dipindahkan itu termasuk:
- Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad (Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah KL kepada Mahkamah Tinggi Bahagian Keluarga KL);
- Hakim Hadhariah Syed Ismail (Mahkamah Tinggi Sivil Shah Alam ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang);
- Hakim Datuk Hanipah Farikullah (Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil Shah Alam ke Mahkamah Tinggi Bahagian Kuasa-Kuasa Khas KL);
- Hakim Lee Swee Seng (Mahkamah Tinggi Bahagian Keluarga KL ke MahkamahTinggi Bahagian Pembinaan KL)
- Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ab Karim Ab Rahman ( Mahkamah Tinggi Kuantan dan Temerloh ke Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah KL);
- Pesuruhjaya Kehakiman Nordin Hassan (Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ke Mahkamah Tinggi Bahagian Jenayah KL);
- Pesuruhjaya Kehakiman Noorin Badaruddin (Mahkamah Tinggi Ipoh ke Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang KL);
- Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Nazlan Mohd Ghazali (Mahkamah Tinggi Johor Bahru ke Mahkamah Tinggi Bahagian Dagang KL);
- Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof (Mahkamah Tinggi Seremban ke Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil KL);
- Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil (Mahkamah Tinggi Melaka ke Mahkamah Tinggi Bahagian sivil KL); dan
- Hakim Vazeer Alam Mydin Meera (Mahkamah Tinggi Bahagian Sivil KL ke Mahkamah Tinggi Melaka).
Antara catatan menarik, hakim Hakim Lee Swee Seng adalah hakim yang mengisytiharkan penukaran agama ketiga-tiga anak M Indira Gandhi di Perak adalah batal dan tidak sah, semasa berkhidmat di Mahkamah Tinggi Ipoh, manakala Hakim Vazeer Alam adalah hakim Mahkamah Tinggi KL yang memutuskan bahawa Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail tidak terkecuali daripada tindakan undang-undang.

