Keruntuhan institusi perkahwinan merupakan satu isyarat yang bahaya, bukan sahaja kepada perkembangan umat Islam tetapi juga masyarakat keseluruhannya, kata Timbalan Mufti Pahang Abdul Rahman Osman.

Keruntuhan rumah tangga tersebut, katanya, boleh menjejaskan ekonomi dan kekuatan orang Melayu dan ini dikhuatiri menyebabkan mereka tidak mampu bersaing dengan kaum lain.

Abdul Rahman berkata, keruntuhan rumah tangga umat Islam adalah sesuatu yang merugikan kerana mereka akan lemah dalam serba serbi, termasuk di bidang ekonomi.

"Jika sesebuah keluarga rosak, secara tidak langsung ekonomi keluarga tersebut tidak berfungsi dan ini menjadikan mereka dihimpit kecelaruan dan kemiskinan.

"Dan mereka sanggup melakukan apa sahaja hatta merompak dan membunuh. Anak- anak mereka yang tidak berpelajaran dan tersisih, akan terlibat dengan jenayah," katanya ketika dihubungi malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan mengenai kadar penceraian yang tinggi di kalangan umat Islam di negara ini kerana pelbagai faktor seperti ekonomi, kecurangan dan kahwin pada usia yang terlalu muda.

Menurutnya, masyarakat Islam yang pincang dan huru hara sudah pasti akan menimbulkan kekacauan dalam masyarakat dan ini menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara dan mengancam keselamatan rakayt.

Menurut Abdul Rahman, kesan lain yang timbul daripada penceraian ialah imej Islam menjadi tercemar dan ini tidak baik kepada pandangan umat bukan Islam.

Kesan kepada anak-anak

Katanya, umat Islam perlu mempunyai ekonomi yang kukuh kerana banyak kes penceraian berpunca daripada kemiskinan.

"Ini banyak sekali berlaku di Pahang. Apabila dilanda kemiskinan, pelbagai masalah susulan akan berlaku," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Ismail Yahya pula berkata, penceraian boleh merosakkan sesebuah masyarakat dan meninggalkan kesan mendalam kepada anak-anak.

Katanya, jika fenomena ini dibiarkan ia akan memusnahkan kehidupan masyarakat secara keseluruhan, termasuk kepada bukan Islam juga.

"Ia akan memberi kesan, bukan sahaja kepada orang Islam tetapi juga kepada seluruh masyarakat lain. Masyarakat akan menjadi kucar kacir kerana angkara mereka," tambahnaya.

Di Terengganu, penceraian berlaku kerana orang Islam memandang rendah hukum hakam yang melibatkan nikah cerai dan menganggap ia sebagai takdir.

Kata Ismail, bagaimanapun undang-undang Islam di Terengganu amat memberi penekanan kepada perlindungan kepada anak-anak mangsa penceraian.

Kadar penceraian di Terengganu pada tahun lalu adalah yang keempat tertinggi secara keseluruhan tetapi kata beliau kebanyakannya disebabkan oleh orang luar yang memohon untuk bercerai di negeri tersebut.