Catatan Kembara ke Tasek Utara
Ulang
tahun
Kebangkitan Mahasiswa
Catatan kembara ke Tasek Utara
Hishamuddin Rais
Apabila
saya sampai ke Tasek Utara jam baru pukul 7 pagi. Penduduk kampung
setinggan ini telah berkeliaran tanpa halu tujuan kerana kehidupan
mereka telah menjadi porak peranda.
Saya ternampak anak-anak kecil yang memakai pakaian sekolah yang cuba meneruskan hidup mereka seolah-olah tidak ada sesuatu yang telah berlaku. Dua hari dahulu kampung ini telah diserang oleh pengganas-pengganas dari Majlis Perbandaran Johor Bahru dengan bantuan polis.
Papan-papan
dinding dan atap zing bertaburan di tanah. Ada rangka dan tiang rumah
yang robek tapi masih tegak berdiri. Hanya ada sederet rumah yang
gagal dirobohkan dan sedang dikawal rapi oleh penghuninya.
Tasek Utara, tiga batu dari Johor Bahru adalah kawasan tanah yang diterokai oleh penduduk miskin di kota - buruh kasar, pembantu kedai, askar pencen dan peniaga warung dan termasuk pekerja majlis perbandaran sendiri.
Lembah ini dikelilingi oleh kawasan perumahan kelas menengah yang telah agak lama berdiri.
Janji
Umno sebelum pilihanraya
Penerokaan Tasek Utara ini bukan dilakukan secara sembrono. Saya ternampak
tanda-tanda borang banci rasmi dari majlis perbandaran yang masih
terlekat di kepala pintu. Pembancian dan pemberian nombor lot dilakukan
secara rasmi sebelum pilihanraya Ogos 1974.
Malah sebelum piliharaya, semua penduduk kampung ini telah diberikan janji bahawa mereka akan mendapat hak di kawasan ini dengan syarat menubuhkan cawangan Umno dan mengundi Umno.
Lalu untuk menjaga keselamatan kampung, penduduk telah membaptiskan kampung mereka dengan nama Kampung Barisan Nasional. Rumah yang dimiliki oleh ketua cawangan Umno kampung ini masih lagi mengibarkan bendera Umno, walaupun dia telah berundur hilang.
Saya sampai ke Tasek Utara secara tidak sengaja, tanpa dirancang. Saya masih teringat lagi petang 14 September 1974, dua puluh lima tahun dahulu.
Saya dan beberapa orang aktivis persatuan sedang bersembang kosong di dalam bilik pejabat Mat Zain Daud, Naib President Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) apabila dua telegram sampai.
Isinya pendek: "Kampung kami di Tasek Utara akan dirobohkan. Tolong bantu kami. Penduduk Kampung Tasek Utara Johor Bahru." Tidak ada nama yang tertera dan saya tidak tahu hujung pangkal asal-usul telegram ini. Saya terus membuka telegram kedua yang berbunyi: "Aku berada di Tasek Utara Johor Bahru. Syed Hamid Ali."
Kini, saya menyedari yang telegram ini bukan satu "April Fool." Si pengirimnya ialah bekas Presiden PMUM dan kenalan baik saya. Ini meyakinkan bahawa saya perlu melakukan sesuatu.
Menumpang
van akhbar ke JB
Sayangnya
waktu pejabat telah berakhir dan tidak ramai anggota majlis ke-16
PMUM yang berada di sekitar urusetia untuk membuat keputusan bersama.
Lalu saya mengambil keputusan untuk pergi melihat sendiri dengan tujuan
membuat laporan kepada persatuan.
Pada sebelah malam, saya bersama Yunus Ali, yang juga anggota majlis, telah pergi ke Jalan Riong untuk menumpang van akhbar New Strait Times yang akan bertolak ke Johor Bahru sesudah tengah malam.
Walaupun PMUM merupakan sebuah persatuan pelajar yang paling kaya di Asia Tenggara ketika itu, saya sebagai Setiausaha Agungnya hanya diberi sepuluh ringgit untuk tambang perjalanan. Kami membayar lapan ringgit sebagai harga "penumpang haram" kepada pemandu van dengan perjanjian yang kami akan menyorokkan diri di atas timbunan akhbar.
Esoknya, jam 5 pagi kami diturunkan berhampiran stesen keretapi Johor Bahru. Kerana terlalu awal sampai, kami tidak tahu arah yang wajib kami tuju. Setalah dua jam kemudian, barulah kami dapat mengambil "teksi sapu" yang membawa kami ke Tasek Utara.
Saya tidak akan dapat melupakan imejan pertama apabila saya memasuki Tasek Utara. Seorang kakak yang memakai baju kurung berwarna putih dan berkain batik coklat yang lusuh warnanya berdiri dimuka pintu, memanggil saya masuk ke dalam rumahnya.
Dinding rumahnya yang masih kelihatan merah, menandakan papan itu baru dibeli. Anaknya dalam buaian kain batik sedang nyenyak tidur. Suaminya sedang memburuh. Kakak ini menerangkan bagaimana dia telah bergadai untuk mendapatkan 600 ringgit bagi mendirikan rumahnya itu seluas 15 kaki persegi ini. Dua hari dahulu dapurnya telah diruntuhkan.
Umur saya yang begitu muda menjadikan saya tidak sanggup untuk bertentang mata mendengar surah penderitaan seorang ibu. Saya juga sedar kakak ini sedang menaruh segunung harapan daripada kami, pelajar universiti untuk melakukan sesuatu.
Saya juga sedar bahawa saya tidak mempunyai sezarah kudrat pun untuk mengubah apa yang sedang berlaku.
Sokongan
siswa Universiti Singapura
Dalam detik-detik yang genting ini saya diselamatkan oleh panggilan
"ketua kampung" dan Syed Hamid Ali yang telah sedar kesampaian
kami.
Saya diberitahu bahawa kemungkinan pengganas dari majlis bandaran akan datang menyerang lagi. Beberapa penduduk telah mula berkumpul, termasuk seorang lelaki India. Semuanya dengan harapan kami dari Universiti Malaya akan dapat memberi jawapan kepada masalah yang sedang mereka hadapi.
Hampir jam 10, keadaan menjadi lebih ceria apabila sekumpulan mahasiswa dari Universiti Singapura sampai. Mereka juga ingin menunjukkan simpati terhadap nasib penduduk Tasek Utara.
Saya
juga menjadi lebih selesa kerana telah mendapat sokongan dari Kesatuan
Pelajar Universiti Singapura (USSU). Salah seorang daripada mereka
membawa kamera untuk merakamkan apa yang berlaku.
Tiba-tiba keadaan menjadi kelam kabut apabila sekumpulan "musuh" muncul - seorang pegawai polis yang diiringi oleh tiga orang anggota FRU.
Pegawai polis ini datang dengan tujuan untuk menggertak dan menakut-nakut penduduk yang kini telah mula berani kerana mahasiswa telah berada bersama mereka. Tidak banyak yang dapat dilakukan oleh musuh itu. Akhirnya, setelah mereka melihat dan mengintai-intai kawasan kampung, mereka pun berundur.
Bila keadaan menjadi tenang dan selesa, kami mengadakan perbincangan tentang apa yang harus kami buat.

