Barcelona akan hantar Madrid ke 'neraka'
Bekas bintang Barcelona, Hristo Stoichkov memberi peringatan kepada Real Madrid mereka berdepan risiko kekalahan dalam perlawanan el Clasico di Santiago Bernabeu, awal pagi nanti.
Menurut Stoichkov, perlawanan itu bakal menjadi 'neraka' buat skuad Los Blancos.
Bekas pemain kebangsaan Bulgaria itu memang terkenal dengan kritikan-kritikan pedas terhadap Madrid.
Menjelang pertemuan dua musuh tradisi itu, Stoichkov melontarkan pandangannya yang dibuat tanpa tapisah terhadap pasukan kendalian Rafael Benitez.
"Ketika ini, Barcelona adalah pasukan terbaik dan mengatasi Madrid dengan tiga mata. Perkara penting daripada itu adalah penampilan (Lionel) Messi selepas kembali pulih daripada kecederaan," katanya.
Tidak cukup dengan itu, Stoichkov (
gambar
) berkata motivasi pemain Barcelona berada pada tahap tinggi, manakala Madrid masih dalam tekanan selepas mereka tewas dan tertinggal enam mata.
Semua itu, kata Stoichkov, adalah 'neraka' yang dijanjikan buat Madrid.
"Sementara itu, Neymar, Messi dan Luis Suarez sewajarnya berada di podium Ballon d'Or pada Januari nanti," katanya.
Mengulas mengenai anugerah itu, Stoichkov menyifatkan Ballon d'Or akan menjadi lebih adil kerana ketiadaan Sepp Blatter (Presiden Fifa) yang sebelum ini dianggap mempengaruhi keputusan.
Menurutnya, pemain Barcelona berpotensi menjadi pemenang selepas kejayaan mereka musim lalu berbanding Madrid.
"Januari nanti Blatter tidak ada dan dia tidak boleh memanipulasikan undian.
"Semua trofi berada di tangan Barcelona pada musim lalu," katanya yang menjadi bintang di Camp Nou selama dua musim dan menyumbang lebih 100 gol buat Barcelona.

